June 13, 2024

PETALING JAYA – Penyanyi Faizal Tahir berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM43,806.21 menerusi acara Faith4Palestine yang berlangsung di sebuah hotel pada 12 November lalu.

Antara barangan milik peribadinya yang berjaya dilelong seperti koleksi pakaian, kasut, barang permainan, dua buah gitar termasuk trofi kemenangannya menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 pada tahun 2016.

Menurut Faizal, wang tersebut akan disumbangkan kepada Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia bagi membantu mangsa kekejaman Zionis di Gaza.

Dalam acara tersebut, Faizal mengadakan sesi perkongsian tentang konflik yang berlaku di Palestine bersama aktivis Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri.

Dalam pada itu juga, Faizal telah mengadakan ‘mini showcase’ dengan menyampaikan beberapa buah lagu bagi menghiburkan peminat yang hadir selain berduet bersama penyanyi jemputan iaitu Syamel.

“Saya memuji Syamel yang turut menawarkan diri bersama-sama dalam menjayakan program Faith4Palestine ini.

“Ramai artis yang nak turut serta tetapi disebabkan komitmen yang tak dapat nak dielakkan, sebab dalam masa dua minggu tu diorang dah ada perancangan lain untuk hari ini,“ kata Faizal.

Diaju soalan berkaitan isu boikot, Faizal berkata beliau tiada masaalah kerana isu untuk memboikot sesetengah produk yang berkaitan dengan Israel terletak di tangan masing-masing kerana mereka ada pilihan untuk memilih.

“Benda ini pilihan sendiri. Saya tak ada masalah. Kalau ada macam kawan saya atau adik beradik saya masih nak support barang-barang yang memang terus terang memberi sumbangan kepada rejim Zionis Israel itu pilihan masing-masing.

“Tetapi jika saya buat benda itu untuk diri saya, ianya tak bestlah sebab saya boleh memberi sumbangan. Dengan memboikot sesetengah produk, saya boleh je hidup dengan jenama lain. Inilah masa untuk kita melatih diri kita untuk melepaskan minda kita dari cengkaman barat.

“Inilah masa untuk kita memperkukuhkan ekonomi kita dengan support barangan tempatan. Sebab orang kita pun dah dahsyat sebenarnya dah boleh buat produk sendiri.” Jelas Faizal.

Terdahulu, Faizal tidak menyangka program yang dirancang dalam tempoh yang singkat mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai yang ingin sama membantu mangsa perang di Palestine ketika ini.