May 18, 2024

KUALA LUMPUR : Sofistikated dan lembut, begitu SUAV yang dianggotai tiga anak muda iaitu Adam Imanullah Izzuddin (vokal, gitar, rap), Muhammad Akif Taqiuzaman bin Norzam, (vokal, gitar dan piano) serta Mohamad Ariff Mohamad Salleh Aludin (bass) mendefinisikan kugiran mereka. 

Membawa falsafah muzik bercampur Pop, Hip-hop, Elektronik dan Rock, SUAV muncul dengan single perdana yang diberi judul Raja Di Sini.

Raja Di Sini kata mereka menceritakan tentang seorang yang bertahan dan telah berjaya berada di kedudukan sekarang selepas melalui badai serta sepak terajang kehidupan.

SUAV terdiri dari Akif (vokal, gitar dan piano), Ariff (bes) dan Adam (vokal, gitar, rap)

Dirakamkan di Rumie Music Lab (RML) , Raja Di Sini mendapatkan sentuhan dari barisan karyawan dan legenda termasuk komposer dan penerbit  terkenal iaitu Aidit Alfian (penerbit), Alfa Booty (penolong penerbit), Rumie Booty (jururakam bunyi dan mixman) dan Retno Junaidi selaku pengendali studio.

“Demo lagu ini telah dirakam beberapa tahun lalu and ia mempunyai  susunan muzik yang sangat berbeza dari segi vibe dan lirik. Lagu ini dipilih untuk menjadi lagu perdana kami dengan nafas yang baharu dan susunan muzik yang agak berbeza dari ‘pop rock band’ di Malaysia,” ujar SUAV.

Ia telah dirakam dalam tempoh kurang dari sebulan dan turut memiliki muzik video.

“Asal usul lagu ini sebenarnya apabila abang Aidit Alfian (penerbit kami) dilamar oleh sebuah projek indie yang meminta lagu runut bunyi filem Gantung The Movie yang akan disiarkan secara strim antarabangsa. 

Filem ini adalah hasil tulisan novel Gantung 1 dan Gantung 2 oleh Nadia Khan, yang telah diadaptasi menjadi TV series Gantung The Series di ASTRO dan sebuah lagi TV strim Indonesia, dengan barisan pelakon yang sangat mantap seperti Ikmal Amry, Hafreez Adam, Randy Pangalila, Brandon Salim, Mentari De Marelle dan Gita Sucia. Namun begitu, penggambaran ter’gantung’ seketika sewaktu PKP 2 tahun dan kesibukan jadual para pelakon,” terang Adam tentang asal usul lagu ini. 

“Selepas melalui proses rakaman lagu Raja Di Sini ini, lagu dan video, SUAV sangat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih di atas bimbingan Aidit Alfian dan juga pengarah muzik video, Nabil Imran dari Mahakarya studios. 

“Kami berharap pendengar-pendengar dapat menghayati  ‘pengalaman’ sebenar dalam lagu ini melalui muzik videonya selain berharap lagu ini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup anda,” ujar Akif pula.

“Syukur Alhamdulillah, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana menjadi penaja muzik video kami dan kepada Cendana kerana menjayakan penerbitan rakaman lagu kami,” tambah SUAV.

SUAV sewaktu menjalani penggambaran video muzik

Sementara itu, selaku penerbit Aidit Alfian mengaku tidak sukar menjalin kerjasama dengan SUAV yang disifatkan sebagai memiliki banyak potensi. 

Tiga anak muda dengan masing masing berusia 24 tahun ini bukan sahaja berbakat dalam bidang instrumen, tetapi mampu menulis lagu dan menjadi komposer yang baik.

“Selain memberi kerjasama, mereka juga sangat mudah diajar. Potensi ataupun bakat SUAV selain dari bermain gitar dan menyanyi, sebenarnnya adalah dalam penulisan lagu dan lirik (songwriting). 

“Kekuatan mereka apabila mereka kerja bersama, bermaksud mereka bagus bersama dengan tanpa seorang ‘bintang’ dalam satu kumpulan.

“Sebagai komposer dan penulis lagu, saya sangat menggalakkan mereka untuk terus berkarya dan menulis lagu, kerana sememangnya mereka mempunyai bakat yang semulajadi dan kesungguhan untuk terus maju,” ujar Aidit Alfian.

Kini SUAV siap menempuh ‘badai’ dunia muzik sebenar setelah pertama kali ditubuhkan pada tahun 2015.

“Kami ingin mencipta lagu-lagu yang mampu menyentuh setiap kerumitan perasaan seseorang itu sebagai mana kami merasai,” kata Ariff pula.

Selain Raja Di Sini, SUAV sudah merencana untuk meluncurkan single kedua mereka berjudul Sunflower dalam masa terdekat. Single tersebut juga menerima sentuhan kerjasama dari Alfa Booty.

SUAV – Raja Di Sini (Official Music Video)