KUALA LUMPUR – Kumpulan Exists, yang popular dengan rangkaian lagu seperti “Oh Ibu”, “Langkah Seiringan”, dan “Jesnita”, terharu dengan penerimaan hangat dari peminat yang masih setia mendengar karya-karya mereka, walaupun kebanyakannya berusia lebih 20 tahun. Menurut kumpulan ini, mereka merasakan sudah tiba masa untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persembahan secara langsung bagi memberikan pengalaman yang lebih intim bersama peminat.
“Fasa untuk merakam lagu bagi kumpulan Exists sudah berakhir. Sekarang adalah fasa untuk kami persembahkan lagu-lagu Exists yang sedia ada secara live.” Ujar Ajai ketika ditemui pada sidang media di WTCKL, baru-baru ini.
Menurut Ajai lagi, proses merakam lagu baru mengambil masa yang lama untuk diterima oleh pendengar dalam suasana muzik yang semakin pelbagai. “Jika kami rakam lagu sekarang mungkin hanya akan menjadi evergreen beberapa tahun akan datang, mungkin sekitar 2029. Orang datang ke konsert untuk menikmati dan sing-along lagu-lagu yang mereka sudah kenal, sebab itu dari lagu pertama hingga lagu ke-25, peminat masih boleh ikut menyanyi.”
Exists turut berbesar hati apabila diberi peluang oleh Dennsa dan Sensorhythm untuk mengadakan konsert “Battle Of Time: Exists X Masdo”, yang dijadualkan berlangsung pada 10 November 2024 di Dewan Merdeka, WTCKL. Konsert yang mendapat sokongan dari Kementerian Komunikasi serta Kumpulan My Creative Ventures ini merupakan pengalaman ‘pulang ke masa silam’ yang tidak harus dilepaskan oleh para peminat.
Pemilihan nama “Battle of Time” sendiri melambangkan transisi masa yang pernah dilalui oleh kugiran legenda seperti Exists, yang turut memberi inspirasi kepada pemuzik generasi kini seperti Masdo. Dengan gabungan dua nama besar yang dikenali hingga ke Indonesia ini, konsert tersebut dijangka memberikan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memperkayakan penonton dengan pengetahuan tentang hebatnya pengkarya tempatan.
Seperti yang semua sedia maklum, Exists adalah sebuah kugiran legenda yang telah mewarnai dunia muzik Nusantara sejak sekian lama, dengan karya-karya mereka didengari oleh generasi Millennial hingga ke generasi Alpha.
“Lagu-lagu Exists, dari ‘Oh Ibu’ hingga ‘Julia’, serta ‘Langkah Seiringan’ yang dihasilkan lebih sedekad lalu kini kembali trending di platform seperti TikTok,” ujar Dewi dari Dennsa, selaku penganjur konsert. “Ini membuktikan bahawa karya Exists tidak lapuk ditelan zaman, malah terus relevan meskipun era sudah berubah. Inilah sebab utama kami dengan bangga membawa Exists ke pentas Battle Of Time Exists X Masdo.”
Masdo, kugiran baharu yang tidak asing lagi dalam kalangan penggemar muzik Nusantara, juga memiliki aura tersendiri. “Muzik mereka telah mencetuskan fenomena, dan pemilihan Exists serta Masdo dalam Battle Of Time ini adalah perkahwinan antara era muzik lama dan baharu yang disegarkan oleh kedua-dua kumpulan ini untuk generasi kini,” tambah Dewi lagi.
Konsert ini bakal berlangsung di Dewan Merdeka, WTCKL, pada 10 November 2024. Battle Of Time Exists X Masdo akan menyaksikan kedua-dua kugiran ini tampil dengan rangkaian lagu hit mereka, namun dengan penampilan dan susunan muzik yang baharu.
Sebagai kugiran muda, Masdo turut berkongsi rasa teruja untuk berkongsi pentas bersama Exists. “Kami selalu menyanyikan lagu-lagu Exists ketika remaja, dan kini peluang untuk berada di atas pentas yang sama adalah sesuatu yang sangat bermakna,” kata Putu Ceri dari Masdo. “Walaupun genre muzik kami berbeza, tema Battle of Time ini cukup signifikan, terutama dengan Masdo yang mengekalkan gaya pop 60-an.”
Para peminat kini boleh membeli tiket untuk menikmati pengalaman ‘pulang ke masa silam’ ini melalui pelbagai kategori tiket, termasuk Dia Pertama (RM159), Lempeng Twist (RM199), Anugerah Hati (RM219), Bunga Cemara (RM299), Teruna Juwita (RM399), Bidadari Pujaanku (RM599), dan kategori eksklusif Untukmu Puspita Royal Box (RM789). Tiket boleh didapati melalui laman web myticket.com, Atome.
Pastikan anda menandakan tarikh 10 November 2024 dalam kalendar untuk merasai sendiri gabungan kuasa dua generasi ini di Battle Of Time Exists X Masdo!