KUALA LUMPUR, 30 April 2025 – Pelakon terkenal, Fattah Amin, membawa pengalaman baharu kepada penonton dalam filem seram psikologi Kulit Wayang, arahan pengarah tersohor tanah air, Dain Said. Filem yang mengangkat seni wayang kulit sebagai latar utama ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 1 Mei 2025.
Dalam Kulit Wayang, Fattah Amin memegang watak Pak Lee, seorang tok dalang yang terkenal dengan kepakarannya dalam seni persembahan tradisional. Namun, hidupnya berubah setelah kehilangan anak perempuannya, Ayu, dalam satu tragedi yang penuh misteri. Trauma dan ketakutan menguasai dirinya, mendorongnya untuk membongkar rahsia yang tersembunyi di kampungnya. Penduduk percaya bahawa tragedi ngeri itu berpunca daripada kehadiran buaya, namun Pak Lee bertekad mencari kebenaran tentang identiti sebenar pembunuh anaknya.

Filem ini bukan sekadar menampilkan elemen seram tetapi juga memberi penghormatan kepada warisan budaya Malaysia, khususnya seni persembahan wayang kulit. Gabungan ketegangan psikologi dan kesedihan seorang ayah menjadikan Kulit Wayang sebuah karya yang mendalam dan penuh emosi.
Bersempena pelancaran rasmi filem ini, Majlis Malam Gala dan Sidang Media telah diadakan dengan meriah pada 22 April lalu di GSC Mid Valley Megamall. Acara tersebut dihadiri oleh barisan pelakon utama seperti Fattah Amin dan Pekin Ibrahim, bersama pelakon sampingan Ezzaty Abdullah dan Amanda Ang. Pengarah filem, Dain Said, turut hadir bagi meraikan tayangan perdana eksklusif ini bersama wakil media, tetamu kehormat, dan para peminat yang tidak melepaskan peluang menyaksikan filem tersebut lebih awal.

Peminat filem tempatan dijemput untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai Kulit Wayang melalui laman sosial rasmi GSC Movies dan saluran YouTube GSCM Originals. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Mei 2025!