BANGI : Mungkin ramai di kalangan peminat muzik tempatan tidak begitu mengenali pemilik nama Faysal Saad, apatah lagi mungkin ramai yang beranggapan bahawa beliau adalah penyanyi yang masih ‘hijau’ di persada seni. Namun bagi Faysal, bintangnya mula bersinar ketika dia memasuki Idola Kecil, apatah lagi ketika itu usianya baru menjengah 12 tahun.
Merangkak, bertatih kemudian berdiri dan kini Faysal mampu menarik nafas lega kerana apa yang diimpikannya sudah menjadi kenyataan meskipun hanya memiliki sebuah single. Saksi menjadi titik tolak untuk dirinya melangkah lebih jauh lagi.
Meskipun begitu bakat Faysal tidak harus di pantang ‘enteng’ kerana pengalamannya di persada seni cukup banyak, selain nyanyian dia juga punya bakat dalam lakonan. Jadi tidak hairanlah mengapa Faysal mempunyai ribuan peminat di pelbagai platform media sosial.
Walaupun mempunyai ribuan peminat di media sosial, Faysal, 25, tidak mahu dirinya terpalit dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan kariernya sebagai anak seni dan sebolehnya untuk menghindari cerita negatif mengenainya, sebaliknya hanya mahu fokus terhadap kerjaya seninya.
Daripada Idola Kecil musim kedua prelude, juara Impress Your Idol 2020, Mikrofon Impian Season 2, juara Karaoke Superstar Astro Ria dan All Together Now Malaysia, kini Faysal mula melebarkan sayap seninya menerusi Saksi.
Saksi lahir dengan kerjasama Wamo NSG Enterprise, membawa tema kehilangan yang boleh difahamkan mengikut terjemahan masing-masing.
“Media sosial banyak membantu saya mengetengahkan bakat nyanyian saya dan lagu Saksi ini tercipta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di laksanakan, dan saya harap agar lagu ini diterima ramai”, ujar Faysal ketika Majlis Pelancaran lagu tersebut yang diadakan di Mega Glory Hall Bandar Baru Bangi pada 11 Januari lalu.
“Saya cukup meminati bidang nyanyian, malah hampir semua uji bakat saya sertai sejak kecil sehinggalah munculnya TikTok dan Instagram yang menjadi platform untuk saya lebih dikenali”, katanya.
Keunikan lirik dan lagu irama balada yang dihasilkan sebenarnya lebih diberi penekanan buat mereka yang kehilangan pasangan akibat COVID-19, namun ianya telah digubah agar selari dengan perasaan sebuah kehilangan.
“Setiap orang ada kisah atau memori kehilangan masing-masing, tidak kiralah kehilangan isteri, kerja, anak, kawan dan apa-apa sahaja yang menjadi kenangan, jadi tidak salah rasanya jika saya meluahkannya menerusi lagu”, tambahnya.
Menurut Faysal, jadual seninya termasuk pementasan teater dan mempromosi single Saksi, padat sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Malah beliau turut mengimpikan untuk berkolaborasi dengan seorang artis legenda yang baru-baru ini ada menyatakan hasrat itu setelah melihat bakatnya.