KUALA LUMPUR – Festival Dugem Countdown 2025 secara rasmi dilancarkan dalam satu sidang media yang diadakan di The Wolf Club, Metro Pudu Mall pada November lalu. Festival tersebut bakal berlangsung di The Landing, KL Base di Bandar Malaysia, Sungai Besi pada 31 Disember 2024 sebagai acara kira detik ke tahun 2025.
Festival ini akan menampilkan barisan DJ Dugem tempatan yang terkenal serta beberapa bintang Dugem wanita dari Indonesia sebagai tarikan utama menjelang Tahun Baharu 2025.
Dugem, singkatan daripada “Dunia Gemerlapan,” merupakan genre muzik tarian berjiwa yang popular di kelab malam di Indonesia. Walaupun genre ini telah berkembang di Malaysia sejak 10 tahun lalu, dengan sekurang-kurangnya 10 kelab Dugem yang berjaya menarik minat peminat tempatan, ini adalah kali pertama festival seumpamanya diadakan di Malaysia.
Menurut Muhammad Adnan yang merupakan jurucakap Dugem Festival Countdown (DFC) 2025, festival ini bertujuan menyatukan warga Nusantara tanpa mengira usia, etnik, atau budaya dalam suasana yang seronok dan penuh keterujaan. Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah wakil Mycom Entertainment, Mohd Norzaidi Mohamed dan Abu Bakar Ramlan, selaku penganjur rasmi festival ini.
“Kami berharap festival ini menjadi medan untuk menyatukan peminat muzik di rantau ini, termasuk dari Indonesia, Singapura, Brunei, dan Malaysia Timur,” kata Adnan.
Festival yang akan berlangsung di kawasan terbuka itu dijadualkan bermula jam 3.00 petang hingga 1.00 pagi, menampilkan barisan artis antarabangsa dan tempatan. Tarikan utama termasuk bintang Dugem Indonesia, Cipydot dan Icha Kharoline, yang terkenal di negara asal mereka serta di luar negara.
Artis tempatan pula termasuk Yonn, DJ Alyph, Jyn, Kent Wukong, DJ Ajijie, Debi Echa, Freezy Freez, Alongputra, Manz, Mirul Twin Tech, Baeby, dan DJ Yahoo, yang turut dikenali dalam arena EDM.
Kemudahan Festival
Festival ini menyediakan gerai makanan dan minuman, trak makanan, tandas bergerak, serta surau berdekatan untuk kemudahan pengunjung Muslim. Acara akan dihentikan sementara jika berlaku ribut petir demi keselamatan pengunjung. Pihak penganjur juga akan menjalankan pemeriksaan barang larangan semasa kemasukan.
Tiket dan Parkir
Tiket festival hanya boleh didapati melalui laman rasmi Ticketmelon atau melalui duta sah bermula 27 November 2024. Harga tiket masuk awal adalah seperti berikut:
• GA (General Admission): RM 88.00 (early bird), RM 108.00 (Fasa 1), RM 128.00 (Fasa 2), RM 188.00 (di pintu).
• VIP: RM 128.00 (early bird), RM 158.00 (Fasa 1), RM 178.00 (Fasa 2), RM 228.00 (di pintu).
Parkir disediakan dengan bayaran RM 10.00 bagi kereta manakala percuma untuk motosikal.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti halaman Instagram rasmi penganjur.