KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025 – Warna-warni budaya Borneo menyerikan ibu kota apabila Tourism Malaysia bersama hotel ibis KLCC menganjurkan Festival Gawai Dayak, selaras dengan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) bagi mempromosikan keunikan pelancongan budaya negara.
Acara istimewa ini bermula 8 hingga 22 Jun 2025, menampilkan sajian tradisional Sarawak seperti Laksa Sarawak, Manok Pansoh, Nuba Laya, Umai, dan kek lapis Sarawak, serta persembahan kebudayaan mengasyikkan oleh kumpulan tarian tempatan – membawakan suasana autentik perayaan Gawai Dayak kepada warga kota.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, disaksikan oleh Encik Chen Yang, Pengarah Eksekutif Goldstone Holdings Berhad (wakil ibis KLCC), Datin Rafidah Idris, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara, dan Puan Rubiah Tul Adawiyah Mohd Yusof, Pengarah Tourism Malaysia Sarawak.
Ketika ditemui media, Datuk Manoharan menjelaskan bahawa inisiatif seperti ini sejajar dengan objektif nasional dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negara:
“Ini selaras dengan objektif kami di Tourism Malaysia yang sentiasa bekerjasama dengan semua pemain industri – termasuk pengusaha hotel dan pemilik produk pelancongan. Dalam hal ini, kami amat menyokong inisiatif hotel seperti ibis KLCC yang menampilkan perayaan Gawai dan Kaamatan secara kreatif di Semenanjung Malaysia.”

Tambah beliau lagi, Tourism Malaysia turut membawa wakil media luar negara ke acara-acara seperti ini bagi memperlihatkan kekayaan budaya Malaysia secara langsung:
“Kita tidak hanya mahu pelancong melihat budaya Malaysia melalui filem atau bahan promosi semata-mata. Kita ingin mereka mengalami sendiri—apa yang kita sebut sebagai ‘experiential holiday’. Melalui acara sebegini, pelancong dapat menyaksikan sendiri kehidupan pelbagai etnik seperti di Sarawak Cultural Village, namun kini dibawa ke tengah ibu kota.”
Tourism Malaysia turut memperkenalkan dua inisiatif utama iaitu Geran Gamelan (Galakan Melancong Malaysia) dan Geran Sepadan Sokongan Pelancongan (GSSP) bagi membantu pengusaha industri pelancongan:
“Kami memberikan sokongan kepada pemain industri yang menganjurkan inisiatif sama ada di dalam atau luar negara. Melalui GSSP, kami galakkan penganjur acara (event organiser) untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti pelancongan yang boleh menarik pelancong ke Malaysia.”

Menurut Datuk Manoharan, program ini juga menyokong pertukaran budaya antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia:
“Ramai penduduk Semenanjung masih belum benar-benar mengenali budaya serta cara hidup etnik-etnik Sabah dan Sarawak. Inisiatif seperti ini membuka ruang untuk rakyat tempatan merasai sendiri makanan tradisional serta budaya unik dari Borneo.”
Dalam menyokong kempen VM2026, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menggalakkan semua hotel di seluruh negara menganjurkan aktiviti bertemakan kebudayaan negeri lain:
“Sebagai contoh, kita boleh adakan Pesta Makanan Johor di Pulau Pinang atau Festival Kebudayaan Sabah di Kuala Lumpur. Dengan ini, pelancong yang melawat ke mana-mana bahagian Malaysia akan berpeluang merasai kepelbagaian budaya secara menyeluruh.”

Prestasi Pelancongan Malaysia Meningkat
Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelancongan yang memberangsangkan dengan 38 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2024, peningkatan 31.1% berbanding tahun sebelumnya. Ini menjana RM106.78 bilion hasil pelancongan – peningkatan 43.7% daripada 2023 dan 20% lebih tinggi daripada 2019.
Trend ini terus meningkat pada awal 2025 dengan 13.4 juta pelancong antarabangsa direkodkan dari Januari hingga April, menunjukkan pertumbuhan 21.0% tahun ke tahun. Pasaran utama termasuk Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia, dan United Kingdom.
Kredit Foto: Papa Din