KUALA LUMPUR – Gebyar Nusantara, sebuah festival dua hari yang meraikan seni, warisan, dan pelancongan Indonesia, akan diadakan di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX) pada 30 November dan 1 Disember 2024.
Acara anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur ini menawarkan peluang unik kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hidangan autentik, menyaksikan persembahan seni berwarna-warni, serta meneroka destinasi pelancongan terbaik dari Indonesia di bawah satu bumbung.
Festival ini turut diadakan sempena ulang tahun ke-79 kemerdekaan Indonesia, melambangkan hubungan erat dan kerjasama yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono, festival ini bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara, malah membuka ruang untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelancongan, dan interaksi antara rakyat.
“Festival ini tidak hanya menonjolkan kekayaan seni dan warisan Indonesia, malah memperkasakan lagi hubungan perdagangan, pelancongan, dan rakyat antara dua negara menerusi pelbagai aktiviti yang disusun,” katanya.
Acara yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung, dengan kemasukan adalah percuma.
Destinasi Pelancongan dan Hidangan Istimewa
Pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat eksklusif mengenai destinasi menarik seperti Bali, Bandung, Lombok, dan Kalimantan melalui pameran anjuran Kementerian Pelancongan Republik Indonesia. Selain itu, festival ini menampilkan pelbagai hidangan tradisional Nusantara seperti Nasi Padang Ampera Raya, Soto Banjar Bang Suhai, dan Ayam Gepuk Top Global, serta kopi-kopi terkenal Indonesia.
Hiburan Tradisional dan Kontemporari
Acara ini turut disemarakkan dengan persembahan muzik tradisional dan moden oleh artis-artis terkenal Indonesia, termasuk Allen Anderson, Kureiji, dan Patriot, di samping persembahan istimewa oleh Erul Samah dan JZ Vibes.
Pengunjung juga berpeluang bertemu pelakon utama drama popular Indonesia, Devano dan Maria Theodore, melalui sesi khas bersama peminat di Zona Merah.
“Gabungan insan seni berbakat besar ini secara tidak langsung meningkatkan lagi pemahaman dan apresiasi seni antara warga kedua-dua negara,” tambah Indera.
Ruang Interaksi Seni dan Kerjasama Industri
Selain hiburan, Gebyar Nusantara memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka hasil seni dan kraftangan Indonesia serta berinteraksi dengan para pengkarya. Festival ini turut menjadi platform untuk pemain industri pelancongan dan perusahaan kecil serta sederhana (UMKM) dari kedua-dua negara menjalin kerjasama strategik.
Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook Kedutaan Besar Republik Indonesia di https://www.facebook.com/IndonesianEmbassyKualaLumpur.