May 18, 2024

NABAWAN – Sebanyak 701 keluarga saudara baharu dari 11 buah kampung di sekitar daerah Nabawan dan Kundasang menerima sumbangan ikhlas daripada FGV Holdings Berhad (FGV) bernilai RM840,700 sempena program FGV Seikhlas Hati, di sini semalam. 

Sumbangan disampaikan dalam bentuk wang tunai, pek barangan makanan keluaran FGV seperti beras, gula dan minyak masak, kit kelengkapan ibadah serta peruntukan untuk pembinaan sebuah masjid dan sebuah rumah asnaf. 

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini merupakan kerjasama rapat FGV dan Muslim Care Malaysia (MCM) bagi tujuan membantu golongan kurang berkemampuan. 

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam. 

Turut hadir, Mufti Sabah, Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Dato’ Nazrul Mansor dan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan. 

Dato’ Nazrul berkata, melalui program FGV Seikhlas Hati ini, FGV berpeluang untuk menyalurkan bantuan khususnya buat saudara-saudara baru seagama yang dihimpit kesusahan di sekitar kawasan Nabawan dan Kundasang. 

“FGV berterima kasih kepada MCM dan Majlis Ugama Islam Sabah atas kerjasama yang sangat baik dalam mengenalpasti dan menyalurkan sebahagian daripada wang zakat wakalah perniagaan FGV kepada golongan yang memerlukan. 

“Usaha-usaha kami dalam program ini mencerminkan komitmen FGV untuk membantu komuniti-komuniti yang memerlukan di seluruh pelusuk negara terutamanya di sekitar kawasan operasi perniagaan FGV,” katanya. 

Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, FGV merupakan antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BLPC) selama beberapa tahun ini. 

FGV melunaskan kewajipan zakat perniagaan di semua negeri-negeri FGV beroperasi termasuk Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan RM35.3 juta bagi pengagihan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV yang akan ditunaikan pada tahun ini. 

Di majlis itu, Dato’ Nazrul turut menyerahkan cek replika sumbangan zakat perniagaan FGV sebanyak RM6.3 juta bagi negeri Sabah kepada Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz yang menerimanya bagi pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). 

Sementara itu, Presiden MCM, Encik Zulkifli Wahijan berkata, Nabawan dipilih sebagai lokasi program kerana daerah ini adalah pusat penempatan semula saudara baru yang memeluk Islam sejak awal tahun 1970-an. 

“Kesemua 701 keluarga yang menerima sumbangan pada hari ini adalah saudara baru yang memeluk Islam antara tempoh sebulan sehingga lima tahun lalu,” katanya. 

Menurutnya, MCM amat berbesar hati dan berterima kasih kerana mendapat kepercayaan FGV untuk menjadi rakan kerjasama bagi melaksanakan FGV Seikhlas Hati. 

“MCM dan FGV pernah dua kali bekerjasama sebelum ini dalam program Bantuan Mangsa Banjir di Pantai Timur pada tahun 2022 serta sumbangan komputer riba untuk penuntut universiti pada awal tahun 2023.” 

“Bagaimanapun, kerjasama di Nabawan ini membabitkan skala lebih besar daripada segi nilai kewangan yang diperuntukkan dan juga jumlah penerima manfaat. Alhamdulillah,” tambah beliau. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini iaitu MUIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) dan Majlis Daerah Nabawan. 

“Tidak ketinggalan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu membawa barangan kami sebanyak 12 tan menggunakan pesawat pengangkut A400M secara percuma dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu,” katanya. 

Sebelum itu, Datuk Ruslan di dalam ucapannya berkata amat besar sumbangan dan pertolongan yang diberikan FGV dan Muslim Care Malaysia kepada orang-orang Sabah dan ia amat-amat dihargai. 

Beliau juga berharap bakti murni dan keprihatinan FGV dan MCM dicontohi oleh syarikat korporat serta NGO lain.