July 19, 2024

Menerima sambutan hangat dan pujian saat ditayangkan pada 26th Far East Film Festival di Udine, Itali, Mei lalu sebelum meledak di pawagam Hong Kong, Customs Frontline siap memukau penonton di Malaysia bermula 5 Julai 2024.

Customs Frontline yang menerima sentuhan emas sutradara, Herman Yau bukan sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan (frontline) biasa tetapi mengangkat kepayahan, semangat juang dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api yang jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam.

Bagaimanapun menerusi Customs Frontline yang diproduksi Jason Siu, penonton akan didedahkan dengan kecekapan para anggota kastam membenteras jenayah melalui kesan lakon layar terbaik yang diterajui Erica Li dan Eric Lee.

Tentu sahaja sesebuah filem tidak akan ‘bersinar’ tanpa bintang-bintang hebat yang memukau penonton saat ditayangkan di layar lebar.

Membariskan bintang berkaliber dengan penampilan perdana legendaris Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat berganding mantap bersama aktor berbakat besar, Nicholas Tse, Customs Frontline yang turut dibarisi Karena Lam, Yase Liu dan Francis Ng sebagai penampilan khas dipenuhi dengan babak aski dan klimaks tanpa henti.

Nicholas Tse pertama kali jadi koreografer aksi, akan terus risikokan diri

Lebih menarik, Nicholas Tse yang menjayakan karakter Chow Ching-lai turut menjadi koreografer aksi pertama dalam filem yang digarap selama dua tahun ini.

Tse, 43, menzahirkan keterujaan dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.

“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen.

“Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong.

“Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujar Tse.

Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke- 31 itu juga mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang Pengarah Benny Chan menerusi dunia sinema Hong Kong seperti dalam filem Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin dan Raging Fire.

Penampilan dengan dua kerja yang dilakukan Tse dalam Customs Frontline juga disifatkan sebagai kesungguhan yang luar biasa dari segi aksi dan lakonan unik yang ditonjolkan.

Cheung sendiri menyifatkan gandingan bersama Tse dan Karena adalah sinergi yang hebat.

“Saya melihat Tse dan Karena membesar dan sinergi mereka sangat menonjol bersama saya di Customs Frontline,” kata pemenang pelbagai anugerah tersebut.

Penuh aksi tanpa henti, Customs Frontline mendapat kerjasama penuh daripada pihak Kastam Hong Kong termasuk membenarkan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi penting seperti Ibu Pejabat Kastam Hong Kong North Point dan Ngong Shuen Chau Naval Base untuk paparan yang lebih realistik.

Untuk menyaksikan bagaimana Customs Frontline akan membuatkan anda mempunyai sudut pandang dan dimensi yang berbeza tentang pekerjaan unit beruniform pegawai kastam yang jarang ditonjolkan, jangan lupa ke pawagam berhampiran anda bermula 5 Julai 2024.

Saksikan kehebatan aksi, lakonan dan plot twist yang akan membuat anda tidak senang duduk saat menonton Customs Frontline.

Penampilan perdana Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat, kelincahan aksi Nicholas Tse dan Karena Lam bersama barisan pelakon lain akan membuatkan Customs Frontline sebagai filem dengan latar pekerja barisan hadapan terhebat Hong Kong yang anda saksikan tahun ini!

Customs Frontline | Official Trailer

Sinopsis

Customs Frontline mengisahkan dua pegawai Kastam Hong Kong, Chow Ching-lai (Nicholas Tse) dan Cheung Wan-nam (Jacky Cheung) merupakan pasangan mentor dan anak didik yang cukup akrab. Ching lai telah diarahkan bekerjasama dengan Interpol menyelesaikan kes penyeludupan senjata api. Namun Wan-nam telah membuat keputusan yang menjadikan siasatan kes tersebut lebih rumit.