KUALA LUMPUR – Astro Shaw bakal mempersembahkan filem terbaharu berjudul Wantugo, yang dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini. Menariknya, Wantugo merupakan filem pertama Malaysia yang mengetengahkan genre Battle Royale dan menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha, Yusof Hashim (Ucop), Arfie Shah, dan ramai lagi.
Genre Battle Royale memperlihatkan sekumpulan individu yang diletakkan dalam satu persekitaran dan dipaksa bertarung antara satu sama lain demi kelangsungan hidup. Filem ini diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu, yang sebelum ini mengarahkan drama premium X-Change, manakala skrip ditulis oleh Ashraf Modee Zain. Wantugo diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions Sdn Bhd.

Penerbit Eksekutif Wantugo merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata filem ini merupakan sebuah thriller survival yang sarat dengan elemen teka-teki, selain menguji psikologi dan moral para wataknya.
“Setiap pilihan yang diambil mungkin menjadi pilihan hidup yang terakhir. Ini adalah kali pertama Astro Shaw memperkenalkan filem tempatan dengan genre ‘Battle Royale’ dan kami amat teruja dapat bekerjasama dengan Infinitus Entertainment, pengarah Nurhanisham Muhammad (Labu), serta penulis Ashraf Modee Zain dalam merealisasikan filem ini.
“Bagi menambah keterujaan penonton, kami turut merancang untuk membawa pengalaman filem ini melangkaui layar perak, di mana penonton dapat merasai sendiri sebahagian daripada permainan yang dipaparkan. Jadi, nantikan pelbagai inisiatif menarik yang bakal diumumkan nanti,” katanya.

Wantugo mengisahkan Zak dan kumpulannya, The Clique, yang tiba di sebuah taman tema terbiar sebelum bertemu seorang individu digelar Game Master. Mereka diberitahu tentang tiga pusingan permainan maut yang perlu dilalui, namun situasi menjadi tegang apabila permainan tersebut mengingatkan mereka kepada insiden lalu yang melibatkan rakan kolej mereka, Luqman. Ketegangan memuncak apabila ahli kumpulan saling menyalahkan antara satu sama lain demi kelangsungan hidup.
Nantikan Wantugo di pawagam berhampiran pada penghujung tahun ini. Gunakan tanda pagar #Wantugo di platform media sosial dan ikuti perkembangan terkini filem ini menerusi akaun rasmi Astro Shaw di Facebook, Instagram, X, dan TikTok.