January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Filem Kahar: Kapla High Council, karya arahan Razaisyam Rashid, terus mencipta fenomena apabila menjadi pilihan utama penonton tempatan dengan kutipan pecah panggung RM3 juta hanya dalam tiga hari tayangan rasmi.

Filem ini bukan sahaja menghiburkan dengan babak aksi mendebarkan, malah mesej yang mendalam mengenai pentingnya institusi kekeluargaan turut mendapat pujian ramai. Menerusi satu ciapan di platform X, pengguna @iammohsein berkata, “There’s no easy way to say this but uh… Kahar: Kapla High Council was actually a very, very good movie. It’s probably one of the most ‘complete’ Malaysian movies. And this is coming from me who totally abhors local productions that cheap out on realistic dialogue.”

Penerbit Eksekutif filem ini yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, turut meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa dari penonton.

“Kami berterima kasih kepada semua yang telah menonton Kahar: Kapla High Council. Reaksi positif daripada penonton, termasuk komen mengenai jalan cerita, kualiti produksi, dan mesej mendalam mengenai institusi kekeluargaan, sangat menggalakkan. Kami berharap lebih ramai akan datang menonton dan berkongsi pengalaman mereka bersama kami,” ujarnya.

Sejak tayangan bermula, filem ini terus menarik minat ramai dengan siri jelajah yang berlangsung di pelbagai negeri. Siri jelajah yang bermula di Kedah dan Perak pada minggu lalu disambut meriah dengan kehadiran pelakon serta peminat setia.

Siri Jelajah Seterusnya

Bagi peminat yang ingin bertemu barisan pelakon Kahar: Kapla High Council, siri jelajah akan diteruskan di beberapa lokasi berikut:

• 1 Disember: Perak

• 6, 7, 8 Disember: Negeri Sembilan, Johor, Melaka

• 13, 14, 15 Disember: Terengganu, Pahang

Kisah Kahar dan Perjuangan Identiti

Kahar: Kapla High Council mengisahkan Kahar, seorang pelajar Tingkatan 4 di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) yang pendiam dan sering menyisihkan diri. Harapan tinggi bapanya, Dato’ Abu Yamin, menambah tekanan kepada dirinya. Namun, semuanya berubah apabila Kahar tanpa sengaja terlibat dalam pemilihan ketua tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar. Kemenangan itu membawa Kahar ke puncak kuasa, tetapi turut membuatkan dia alpa dengan tanggungjawab dan nilai diri.

Dengan gabungan aksi hebat dan mesej mendalam, Kahar: Kapla High Council terus membuktikan bahawa filem tempatan mampu mencapai standard antarabangsa, sekaligus memartabatkan industri filem Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menonton karya ini di pawagam terdekat!