Filem Madha Gaja Raja akhirnya temui penonton Malaysia selepas 12 tahun

KUALA LUMPUR, 16 Januari 2024 – Selepas 12 tahun dalam pembikinan, filem Tamil yang dinanti-nantikan, Madha Gaja Raja, akhirnya menemui penonton Malaysia. Filem yang dihasilkan oleh Gemini Film Circuit ini telah mencatatkan kejayaan luar biasa di India sejak ditayangkan pada 12 Januari lalu dan kini bersedia untuk ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Singapura bermula hari ini.

Pengedaran filem di Malaysia diuruskan oleh MSK Cinemas dengan kerjasama produksi Gemini Film Circuit. Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam, berkata filem ini telah mencuri perhatian ramai meskipun proses pembikinannya mengambil masa lebih sedekad.

“Filem ini membawa elemen komedi yang mampu membuatkan penonton ketawa dari awal hingga akhir. Penantian panjang untuk tayangan ini ternyata berbaloi,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Keajaiban Selepas 12 Tahun

Produser Gemini Film Circuit, Radhakrishnan, turut berkongsi perasaan lega dan gembira dengan tayangan filem ini. Beliau menjelaskan, pelbagai cabaran seperti jadual penggambaran dan isu membabitkan pelakon utama menyebabkan tempoh pembikinan mengambil masa lama.

“Banyak perkara berlaku sepanjang 12 tahun ini, tetapi akhirnya filem ini berjaya disiapkan. Malah, ia kekal segar dengan pelakon yang masih kelihatan muda, sesuai dengan ton penceritaan filem,” katanya.

Tambahnya, Madha Gaja Raja dipilih untuk ditayangkan sempena perayaan Pongal kerana suasana perayaan itu seiring dengan tema filem yang sesuai untuk tontonan keluarga.

Penerimaan Penonton Global

Filem arahan Sundar C ini bukan sahaja berjaya di India, tetapi juga akan ditayangkan di Australia, New Zealand, Sri Lanka, UAE, Oman, Qatar, Mauritius, dan kini di Malaysia serta Singapura. Sambutan luar biasa turut dijangka di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, Kanada, dan Eropah dalam masa terdekat.

Menurut Radhakrishnan, filem ini juga mesra penonton Melayu dengan penyediaan sari kata Bahasa Malaysia yang dijangka memudahkan penonton memahami elemen komedi dan nilai persahabatan yang dipaparkan.

Plot & Pelakon Hebat

Madha Gaja Raja mengisahkan sekumpulan rakan yang bersatu semula dalam satu majlis perkahwinan selepas sekian lama terpisah. Namun, pertemuan mereka terganggu apabila insiden dramatik berlaku, memaksa mereka bekerjasama menyelesaikan masalah yang mencabar semangat setiakawan dan mengatasi konflik peribadi masing-masing.

Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Vishal, Anjali, Varalaxmi Sarathkumar, Santhanam, Sonu Sood, dan ramai lagi. Gabungan aksi dan komedi arahan Sundar C ini menjanjikan hiburan yang menggeletek hati penonton.

Ikuti Perkembangan Filem

Bagi peminat filem Tamil, perkembangan terkini mengenai filem ini dan kandungan menarik lain boleh diikuti menerusi media sosial MSK Cinemas:

• Facebook: MSK Cinemas

• Instagram: official_mskcinemas

• Twitter: @mskcinemas

• TikTok: @mskcinemas

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Madha Gaja Raja di pawagam tempatan mulai hari ini! Filem ini bukan sahaja menjanjikan hiburan tetapi turut membawa mesej bermakna untuk seisi keluarga.