PETALING JAYA : Seperti pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah yang akan disaksikan oleh penonton lewat buah tangan terbaharu pengarah berprolifik, Syamsul Yusof.
Karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau.
Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.
Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Beliau kemudian dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang calang.
Ini termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta, menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahruddin Dali selaku penerbit filem ini, beliau mengharapkan seluruh masyarakat Malaysia menonton dan berhibur sambil menghayati mesej perjuangan yang disampaikan.
“Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam diri mereka untuk memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem tersebut di pawagam GSC, Starling Mall.
Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali. Turut hadir ialah bapa kepada Syamsul iaitu Yusof Haslam yang meluahkan rasa bangga dengan hasil kerja anaknya.
Filem Mat Kilau digambarkan dalam suasana tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu.
Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit untuk menentang British.
Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.
Filem yang mengisah seorang pahlawan Melayu bernama Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British ini turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali, (Imam Bottoqh) Namron, (Hj. Sulong), Shaharuddin Thamby, (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty, (Ibu Yassin).
Filem yang penuh aksi tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanahair tercinta.
Filem Mat Kilau bakal menemui penonton di seluruh pawagam pada 23 Jun ini.