PETALING JAYA, 12 April 2025 – Filem aksi Blood Brothers: Bara Naga yang baru sahaja memulakan tayangannya kini menjadi buah mulut ramai, mencetuskan perbincangan hangat di kalangan peminat. Bagi menyemarakkan lagi keterujaan ini, Primeworks Studios (PWS) dan Skop Productions mempersembahkan siri jelajah promosi, Jelajah Bara Naga, yang bakal singgah di beberapa pawagam terpilih di seluruh negara sepanjang bulan April.
Siri jelajah ini memberikan peluang istimewa kepada peminat untuk berinteraksi secara langsung dengan barisan pelakon utama filem yang mendebarkan ini, bermula hujung minggu ini. Peminat di Johor, Melaka, dan Lembah Klang merupakan antara yang terawal berpeluang bertemu dengan bintang-bintang filem tersebut.
Pada hari ini, rombongan jelajah telah singgah di TGV Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru pada jam 12.30 tengah hari, diikuti sesi seterusnya di GSC Paradigm Mall pada jam 3.30 petang. Pada keesokan harinya, mereka akan singgah di GSC Aeon Mall Bandaraya Melaka pada jam 12.30 tengah hari, sebelum meneruskan jelajah ke TGV Central i-City, Shah Alam pada jam 5.30 petang.

Barisan pelakon yang menyertai sesi jelajah ini merangkumi Sharnaaz Ahmad, Syazwan Zulkifli, Syafiq Kyle, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap serta pengarah filem, Abhilash Chandra. Sementara itu, pada 13 April di Shah Alam, senarai selebriti bakal dilengkapi dengan kehadiran Shukri Yahaya, Amelia Henderson, dan Zamarul Hisham. Selain sesi ramah mesra di dalam pawagam, peminat turut dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik serta berpeluang membawa pulang barangan eksklusif yang disediakan di kawasan concourse.
Menurut pengarah dan peneraju kreatif, Syafiq Yusof serta Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan, dan nilai persaudaraan dalam dunia yang penuh dengan pengkhianatan. Dilengkapi dengan aksi bertaraf antarabangsa dan jalan cerita yang penuh debaran, filem ini dijangka mendominasi layar perak sebagai filem aksi paling meletup tahun 2025.
Pihak penganjur menggesa peminat untuk terus mengikuti perkembangan terkini mengenai lokasi dan maklumat berkaitan Jelajah Bara Naga melalui saluran media sosial rasmi Primeworks Studios di Facebook, Twitter, Instagram, serta YouTube.
Nantikan juga pengumuman lokasi-lokasi lain yang bakal diumumkan tidak lama lagi – satu peluang keemasan untuk bertemu dengan pelakon kegemaran dan merasai sendiri kehangatan perjalanan filem fenomenal ini.