January 18, 2025

(Oleh: Zizi Hashim)

Filem yang mengisahkan tentang seorang Guru bernama Tien telah berkenalan dan jatuh cinta dengan seorang jejaka kacak dan model dari Korea Selatan iaitu Oppa. Pada satu malam, Tien terdengar perbualan telefon antara Oppa dan keluarganya yang memaklumkan tentang ibu sedang sakit tenat dan dia perlu segera pulang ke Korea. Tien telah memberi Oppa sejumlah wang yang banyak untuk memudahkan kekasihnya pulang dan menguruskan ibunya. Oppa terkejut namun berjanji akan mengahwini Tien sebaik sahaja ibunya sembuh.

Namun begitu, janji hanya tinggal janji. Tien tidak menerima sebarang khabar berita langsung daripada kekasihnya sehingga menimbulkan kerisauan dan tumpuannya untuk mengajar telah terganggu. Pengawal Keselamatan di sekolah tempat Tien bekerja terjumpa limpahan poster di kawasan kaki lima sekolah yang jelas terpapar nama dan wajah Tien. Tien dituduh seorang penipu besar kerana lari dari membayar semula wang yang dipinjam daripada Ah Long. Tien semakin tertekan apabila kekasihnya terus menghilangkan diri, terlalu kecewa sehingga hampir membunuh diri.

Jalan cerita yang dipaparkan adalah adaptasi kisah benar yang pernah berlaku berdasarkan laporan kepada pihak polis. Filem yang menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta seorang influencer popular, Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon – pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi. Menariknya filem ini mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof ketika ditemui pada petang itu berkata, “Fokus utama adalah disasarkan kepada golongan wanita terutamanya yang berisiko menjadi mangsa penipuan Love Scam. Perlu lebih sentiasa berhati-hati. PDRM sudah lakukan pelbagai cara pencegahan antaranya kempen kesedaran, ceramah dan pameran di semua peringkat. Jadi kali ini kami gunakan industri hiburan kerana ianya merupakan satu medium yang sangat berpotensi dan berpengaruh dalam menyampaikan mesej kesedaran berhubung penipuan.” katanya.

Maka kesedaran haruslah dipupuk supaya jenayah Scam ini dapat dibanteras daripada semakin melarat lebih besar akibat kurangnya kesedaran yang menjadi faktor utama masih ramai yang menjadi mangsa. “Adakalanya saya rasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Idea untuk menghasilkan filem ini dicetuskan oleh syarikat produksi Dream Film Sdn Bhd bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat melalui platform filem”.

Terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang terlibat menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini. Malah seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan banyak membantu pasukan produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis demi memastikan proses penggambaran dapat berjalan dengan lancar.

“Tajuk OPPA dipilih bukanlah semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi ada berlaku kes dimana individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi aplikasi ‘dating” di media sosial.” Jelas pengarah filem Captain Denil ketika ditemui pada Majlis Gala Pelancaran Filem “Oppa” pada 23 April 2024 bertempat di GSC The Starling Mall baru-baru ini.

Filem “OPPA” akan menemui penonton pada 9 Mei 2024 di pawagam seluruh negara. Dengan durasi 90 minit dan menelan belanja RM1 juta, harapan yang tinggi diletakkan demi memberi kesedaran dan boleh menjadi pengajaran kepada lebih ramai pihak agar tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini.