
PETALING JAYA: Pengarah filem tersohor Dain Said, kini kembali dengan sebuah karya baharu yang amat dinantikan-nantikan. Filem Harum Malam yang bergenre seram, bakal ditayangkan di 90 buah pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Febuari 2023 ini.
Harum Malam berkisarkan pergelutan hidup Iqbal, seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia. Keupayaan luar biasa ini mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman dari dunia alam ghaib sehingga sukar untuk Iqbal membezakan antara realiti dan ghaib. Satu peristiwa telah menyebabkan rakan-rakan dan keluarga Iqbal terdedah dengan makhluk ghaib yang amat merbahaya. Tanpa mempunyai pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa ini untuk melawan makhluk tersebut.


Harum Malam dibintangi oleh Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Filem ini juga memperkenalkan bakat-bakat muda yang menyinar dalam bidang lakonan antaranya Idan Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.
Filem ini diterbitkan oleh Apparat dengan kerjasama D’Ayu Pictures dan Skop Productions. Skop Productions merupakan penerbit filem seram Munafik 2, yang masih memegang rekod kutipan pawagam filem seram yang paling tinggi akan mengendalikan pengedaran di Malaysia, Singapura dan Brunei. Edaran Skop terkini adalah filem Mat Kilau, telah berjaya menjadi filem box office terbesar di dalam sejarah filem Malaysia.
Sebelum ini, D’Ayu Pictures telah menayangkan filem sulung mereka berjudul Daddyku Gangster yang telah ditayangkan pada bulan Disember 2022. Harum Malam juga diterbitkan dengan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Harum Malam mendapat tayangan perdana festival filem antarabangsa di Fantastic Fest, sebuah festival filem bercorak ‘genre’ (horror, fantasi) yang terbesar di Amerika Utara di Austin, Texas pada September 2022. Pada bulan Oktober 2022 telah berlangsung tayangan untuk filem Harum Malam di Sitges Film Festival, Sepanyol, sebuah festival filem genre yang utama di Eropah.
Di pasaran antarabangsa, Harum Malam diwakili oleh Reel Suspects, manakala XYZ Films pula mewakili filem ini di pasaran Amerika Utara. Judul antarabangsa untuk filem Harum Malam adalah Blood Flower. Manakala di Malaysia, malam gala tayangan filem ini telah dilaksanakan di GSC Starling Mall, Petaling Jaya, pada 30 Januari lalu.

Menurut Dain Said, “Kali terakhir saya mengarahkan film seram adalah Dukun pada tahun 2006. Saya tak sabar untuk filem Harum Malam bertemu dengan penonton filem tempatan, terutamanya peminat filem seram, pada Februari ini!” Ujarnya.
Untuk rekod, filem Dukun arahannya yang telah ditayangkan pada 2018 merupakan 5 filem paling pecah panggung bergenre seram di Malaysia. Dain Said telah menerima Anugerah Pengarah Terbaik pada Anugerah Skrin 2019 untuk filem Dukun.
