KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Selepas mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia, filem seram epik Qodrat 2 kini bersedia untuk menggamit penonton Malaysia apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini, hasil kerjasama strategik antara Astro Shaw dan pelbagai penerbit produksi serantau.
Filem arahan Charles Gozali ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan Qodrat yang mencatat lebih 1.7 juta penonton dan kutipan box office mencecah IDR60 bilion (USD5.3 juta) di Indonesia. Tayangan pertamanya di Malaysia turut mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM6 juta. Kini, Qodrat 2 tampil dengan skala lebih besar dan padat dengan elemen aksi, seram, thriller, serta adunan nilai spiritual dan keagamaan.
Bakal menemui penonton tempatan dengan gaya penceritaan berbeza, Qodrat 2 telah mencatat 72,377 penonton pada hari pertama tayangan di Indonesia yang bermula pada 31 Mac lalu, bersempena sambutan Hari Lebaran. Setakat ini, lebih dua juta penonton telah menyaksikan filem ini di lebih 400 pawagam di republik tersebut.

Membariskan nama-nama besar seperti Vino G. Bastian dan Acha Septriasa, filem ini membawa penonton menyusuri kisah dari perspektif Azizah, isteri kepada Ustaz Qodrat, yang menyerahkan keimanannya kepada syaitan Asu’ala dalam usaha menyelamatkan anak mereka. Kisah menyayat hati ini disulami dengan aksi mendebarkan dan visual kesan khas yang menonjolkan kengerian iblis Asu’ala.
“Qodrat 2 membawa aras baharu dalam genre filem seram. Ia tidak sekadar bergantung pada elemen kejutan atau ‘jumpscare’ tetapi disokong dengan naratif kuat, elemen aksi dan emosi, serta nilai keagamaan yang mendalam,” ujar Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw.
Beliau menambah bahawa kolaborasi bersama MAGMA Entertainment membuktikan komitmen Astro Shaw dalam menghasilkan kandungan serantau berkualiti tinggi dan relevan kepada penonton Malaysia.
Sementara itu, penerbit filem, Linda Gozali Arya berkata, “Qodrat 2 bukan sekadar sambungan kepada filem seram berunsur agama paling berjaya di Indonesia. Ia juga menawarkan pengalaman spiritual dan sinematik yang lebih mendalam dan luas. Kami amat berbangga untuk mempersembahkan karya ini kepada penonton Malaysia.”

Filem ini turut menandakan kemunculan semula Acha Septriasa ke layar perak serta mempertemukannya kembali dengan Vino G. Bastian selepas 17 tahun. Antara barisan pelakon lain yang turut menjayakan filem ini termasuk Donny Alamsyah, Della Dartyan, Hanna Saraswati, dan Septian Dwi Cahyo.
Qodrat 2 diterbitkan oleh gabungan beberapa syarikat produksi berpengaruh seperti MAGMA Entertainment, Rapi Films, Legacy Pictures, Ideosource Entertainment, Virtuelines Entertainment, Caravan Studio dan Beacon Films, selain Astro Shaw.
Orang ramai boleh mula menyaksikan Qodrat 2 di pawagam bermula hari ini. Gunakan #Qodrat #FilmQodrat2 #Qodrat2MY untuk berkongsi pendapat anda di media sosial dan ikuti perkembangan terkini di platform digital Astro Shaw.