Filem seram ‘Polong’ bakal tembusi pasaran tempatan dan luar negara

KUALA LUMPUR – Melihat kepada kepesatan industri perfileman tempatan, filem bergenre seram terus mendapat tempat di hati penonton. Sehubungan itu, syarikat Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) tampil dengan naskhah sulung mereka berjudul Polong.

Pengarah Polong, Zulkarnain Azhar, menyatakan keterujaannya dalam mengarahkan filem ini kerana ia memiliki jalan cerita yang unik dan penuh dengan elemen kejutan.

Polong bukan sekadar filem seram biasa. Ia mengangkat tema dosa silam, legasi, dan akibat yang tidak dapat dielakkan daripada perbuatan masa lampau, khususnya yang melibatkan amalan ilmu hitam.

“Ia juga membawa mesej mendalam tentang kegelapan dalam diri manusia, sama ada melalui dosa masa lalu atau trauma yang belum diselesaikan,” katanya.

Pengarah Polong, Zulkarnain Azhar

Filem ini mengisahkan Maria Hadi, seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam sepanjang hidupnya tetapi berusaha mencari keampunan di penghujung usia. Namun, sebelum kematiannya, Maria terpaksa melepaskan polong belaan kepada pihak yang tidak sepatutnya. Situasi menjadi lebih rumit apabila polong tersebut ingin membalas dendam dan sumpah laknatnya harus dihadapi oleh pewaris Maria.

Dijadualkan memulakan penggambaran pada bulan Mei ini, Polong menampilkan barisan pelakon popular seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong, dan Nadiya Nisaa.

Sementara itu, penerbit eksekutif GSPSB, Onn Norshal Hamzah, menjelaskan bahawa pemilihan genre seram sebagai projek sulung mereka dibuat berdasarkan populariti tinggi filem bergenre sedemikian di kalangan penonton.

“Pemilihan Polong dibuat secara teliti dengan mengambil kira kekuatan komersial dan potensi impak dalam pasaran tempatan serta luar negara. Dengan kualiti penceritaan, penerbitan, dan permintaan tinggi bagi genre ini, kami yakin filem ini mampu menarik perhatian ramai,” katanya.

Menurut Onn, pemilihan Zulkarnain sebagai pengarah juga didorong oleh pengalamannya dalam menghasilkan filem pecah panggung seperti Takluk, Air Force, dan J Revolusi.

“Dengan kepakaran dan pengalaman beliau, kami percaya Polong akan menjadi antara filem yang dinantikan oleh peminat filem seram tempatan.

“Selain itu, penglibatan 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. sebagai pengedar dan agen pemasaran akan menjadi langkah strategik dalam memastikan filem ini mencapai sasaran pasaran yang lebih luas,” tambahnya.

Dengan perancangan rapi dan sokongan pihak berkaitan, Polong dijangka bakal mencetuskan fenomena baharu dalam industri perfileman tempatan serta menarik perhatian peminat filem seram di peringkat antarabangsa.