Oleh: Zizi Hashim
Kenapa jual isu agama untuk buat filem seram? Berani-nya isu agama jadi hal main-main? Ramai yang berbeza pendapat mengenai perkara ini. Tentunya mengundang kontroversi heboh apabila pada mulanya diharamkan tayangan di Malaysia atas kebimbangan terpesong akidah agama. Bagi yang menyokong, menekankan filem seram berasaskan agama justeru boleh meninggalkan kesan spiritual realistik kepada penggemarnya. Berkesempatan menonton baru-baru ini saya terpanggil untuk mengulas tentang filem yang satu ini.
Adakalanya, kepercayaan kita diuji dengan peristiwa tragis yang menghantui sepanjang hidup kita. Inilah yang diungkapkan dalam filem seram terbaru dari sutradara Joko Anwar yang menggemparkan. “Siksa Kubur” nama asal filem di Indonesia, hanya diguna-pakai sebagai “Siksa” di Malaysia adalah filem yang sama. Filem berdurasi 119 minit, akan bermula tayangan di pawagam Malaysia pada hari ini, 30 Mei 2024, telah sedari awal lagi mengundang gelombang kontroversi di kalangan penonton dan Lembaga Penapisan Filem.
Kalau menurut saya, filem Siksa ini boleh menjadi ‘pisau bermata dua’. Satu sisi sebagai pengukuhan kepercayaan kepada orang beriman bahawa segala sesuatu pasti mendapat balasan. Namun satu sisi lain pula, tidak menolak kemungkinan stigmatisasi seperti “Kenapa beragama mesti diancam siksa?” atau “Katanya agama damai, kenapa isinya kepedihan?”. Begitu banyak pro-kontra dibahaskan secara dekat pada media sosial yang membuatkan ramai tertanya-tanya perihal filem ini.
Disebabkan perbincangan pro-kontra yang tidak berkesudahan, filem ini menjadi viral. Mengisahkan perjalanan 2 beradik Sita (Faradina Mufti) dan Adil (Reza Rahadian) yang trauma dengan tragedi kehilangan kedua ibu bapa mereka dalam serangan bom berani mati. Terdahulu mereka hidup dengan harmoni dan penuh kasih sayang, namun segalanya berubah 360 darjah ekoran tragedi berdarah itu.
Peristiwa traumatik ini meninggalkan kesan mendalam terhadap Sita, mengubah pandangannya tentang kehidupan, agama dan kebenaran. Sita yang dulunya percaya ajaran agama, kini mempersoalkan tentang kewujudan azab kubur malah mempersoalkan kewujudan Tuhan. Terlalu taksub untuk membuktikan agama itu tidak benar dan siksa kubur hanyalah mitos mendorong Sita mencari manusia yang paling berdosa.
Dengan penuh tekad, Sita memulakan pencarian merbahaya yang membawa kepada pertemuan intense dengan orang paling kejam yang pernah ditemuinya. Namun rencananya tidak berjalan seperti yang dirancangkan. Apabila lelaki itu meninggal dunia, Sita mengambil langkah nekad meminta bantuan Adil untuk mengebumikan dirinya di dalam liang lahad di sebelah jenazah, dengan harapan dapat membuktikan bahawa siksa kubur hanyalah khayalan semata-mata.
Saya syak filem ini bertujuan oleh Joko Anwar untuk “mengganggu” jiwa penonton. Harusnya dalam poster diberi amaran awal “tidak sesuai untuk mereka yang berjiwa rapuh”. Efek siksaan memang boleh dirasai dari awal filem bermula lagi. Gaya seram psikologi yang dipraktikkan sang sutradara sudah dimulai di babak cerita yang menghidangkan transisi epik dari rona kebahagiaan kepada tragedi yang tragis.
Tidak dapat lari dari kritikan pada efek CGI, music scoring menjadi nilai tambah dari filem seram keagamaan ini. Sukses membuat saya tidak nyaman duduk dan melahirkan kesan traumatik pada jumpscare yang datang entah dari mana hala. Efek muzik juga mengikat penonton ikut terbuai dengan pengalaman tidak enak yang dirasakan Sita. Kalau namanya Joko Anwar, pasti sering kontroversi membangkitkan isu sosial dalam setiap karya.
Segala obsesi Sita membuktikan kebenaran siksa kubur itu terbungkus dalam 3 isu sosial yang kini kritikal di Indonesia khusunya, iaitu terrorism, keganasan seksual di pondok anak yatim dan rumah orang tua. Meski berani menyentuh isu sensitif, Joko Anwar berjaya membuat penonton tidak menghakimi isu yang dibangkitkan.
Filem ini terlihat hanya mensasarkan segmen Muslim sahaja. Konsep siksa kubur secara nyata hanya sinonim dengan ajaran Islam. Joko Anwar juga menegaskan bahawa pihaknya merujuk kepada hadis-hadis sahih berhubung kewujudan azab kubur untuk validasi setiap babak yang diproduksi sesuai dengan dalil-dalil agama. Bukti konkrit supaya tema ini tampak eksklusif.
Pesan paling tersirat ialah bagaimana agama kemudiannya menjadi pencetus kepada seseorang untuk melakukan kerosakan di bumi. Tindakan individu beragama ini memberi kesan domino. Ada yang menjadi skeptikal soal agama bahkan cenderung menjarak dari agama. “Siksa Kubur” merakamkan isu ini dengan baik sebagai peringatan kepada penganut agama umumnya supaya agama itu sejahtera, bukan merugikan. Pesan moral ini ditujukan khas buat yang mahukan kehidupan harmoni.
Ketiadaan penampakan malaikat kubur, ulat yang mengigit wajah mayat dan “Gado Hanoman” memang amat mencacatkan jalan cerita. Kisah ahli agama yang pedofil, kanak-kanak kecil jadi mangsa pedofil dan double meaning di alam kubur yang mengelirukan. Sekiranya tidak terlalu banyak babak yang dipotong, tentu saya tidak blur blur meneka itu ini, kenapa begini bukan begitu.
Sang sutradara memilih untuk memodifikasi dan menampilkan konsep pengajaran agama secara metafora dengan menggunapakai gaya teatrikal dan dramaturgi dalam membangun latar cerita. Ditambah dialog yang menguji akal, jujur saja tontonan ini sangat ‘berat’ untuk saya fahami. Nasihat saya, sila tonton filem ini dengan minda terbuka tanpa sebarang ekspektasi. Filem ini memenuhi semua elemen hiburan dan agama sekaligus.