PUTRAJAYA, 9 April 2025 – Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri, Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi mempersembahkan filem aksi terbaharu, Blood Brothers: Bara Naga, yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 April ini.
Bertemakan dunia gelap jenayah terancang yang jarang diteroka dalam industri perfileman tempatan, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang penuh aksi, ketegangan dan emosi. Tayangan perdana filem ini berlangsung dengan meriah di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini, memberi gambaran awal kepada para penonton tentang keunikan jalan ceritanya.

Blood Brothers: Bara Naga mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan, dan persaudaraan dalam persekitaran mafia yang penuh tipu daya. Ia mengisahkan perjalanan Ariff (lakonan Syafiq Kyle), yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk menyertai organisasi diketuai oleh Dato Zul (Wan Hanafi Su), seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merupakan ketua kumpulan mafia Naga. Ariff kemudiannya menjadi pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan Silent Guard dan mengangkat sumpah setia sebagai ‘Blood Brother’ kepada Ghaz.

Namun, satu pengkhianatan besar merobek kepercayaan mereka apabila Ariff dituduh sebagai pembelot dan menjadi buruan. Dalam usaha membersihkan namanya, dia terpaksa melarikan diri dan mendapatkan pertolongan daripada abang kandungnya, Jaki (Syazwan Zulkifly). Ghaz pula diarah memburu Ariff dan menyerahkannya kepada pihak atasan Naga yang menuntut pembalasan.
Filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap dan ramai lagi. Diarah oleh dua pengarah prolifik, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini menawarkan sinematografi memukau dan jalan cerita yang penuh intensiti.

“Dua tahun penuh dedikasi telah kami curahkan untuk menghasilkan Blood Brothers: Bara Naga. Ia adalah hasil kerjasama luar biasa semua kru dan pelakon,” kata Syafiq Yusof dalam sidang media selepas tayangan perdana.
Sementara itu, Abhilash Chandra menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Syafiq sebagai peluang kreatif yang luar biasa, di mana setiap babak dirancang untuk memberikan impak yang mendalam kepada penonton.
Tayangan perdana turut dihadiri Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, bersama tokoh-tokoh industri seperti Pengasas Skop Productions, YBhg. Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Puan Nini Yusof.

Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu tema filem bertajuk Bara Jiwa oleh Azlan Typewriter dan Muzza. Lagu tersebut, yang membawa mesej tentang semangat persaudaraan dan ketabahan, menjadi pelengkap sempurna kepada tema utama filem ini.
Blood Brothers: Bara Naga bakal menguji nilai persaudaraan apabila pertarungan melibatkan darah sendiri. Saksikan filem yang dijangka menggegarkan layar perak ini di pawagam seluruh Malaysia bermula 10 April 2025.