Gabungan moden dan tradisional, Daiyan Trisha bawa kelainan menerusi “Jom Raya”

KUALA LUMPUR – Menjelang ketibaan Syawal, penyanyi dan pelakon terkenal Daiyan Trisha tampil dengan kelainan menerusi lagu raya pertamanya, Jom Raya, yang dilancarkan pada 28 Februari lalu. Menariknya, lagu ini merupakan kolaborasi pertamanya dengan Alfie Zumi, menampilkan gabungan elemen moden dan tradisional yang segar.

Menurut Daiyan, Jom Raya sebenarnya telah disiapkan sejak tahun lalu, namun hanya dapat dirakamkan tahun ini selepas beberapa penambahbaikan dilakukan.

“Ini adalah lagu raya pertama saya dan ia sangat mengujakan. Lagu ini sudah separuh siap tahun lalu, tetapi kerana kekangan masa, saya tangguhkan dahulu. Tahun ini saya teruskan rakaman dan hasilnya sangat menyeronokkan,” katanya yang turut terkenal menerusi drama Projek High Council.

Daiyan, yang turut bertindak sebagai komposer, bekerjasama dengan Glowrush dan Efry Arwis dalam penulisan lirik. Inspirasi lagu ini tercetus daripada pemerhatiannya terhadap trend pick-up line di media sosial setiap kali menjelang lebaran.

“Saya lihat ramai yang menggunakan pick-up line berkaitan jodoh ketika raya. Jadi, saya ingin menghidupkan elemen itu dalam sebuah lagu yang ringan dan menghiburkan,” jelasnya.

Pemilihan Alfie Zumi sebagai rakan duet pula dibuat kerana Daiyan merasakan suaranya sesuai dengan konsep Jom Raya. “Kami sebenarnya sudah berbincang untuk berduet dalam lagu lain, tetapi saya mahu Alfie terlibat dalam lagu ini kerana ia sepadan dengan tema dan konsepnya,” tambahnya.

Menariknya, Jom Raya hadir dalam dua versi – duet dan solo. Versi solo bakal dilancarkan pada 21 Mac di semua platform digital. Sementara itu, video muzik lagu ini turut mencuri perhatian kerana mengetengahkan suasana berbeza daripada kebiasaan. Jika kebanyakan lagu raya menampilkan suasana kampung yang meriah, Daiyan memilih latar rumah moden di tengah bandar bagi mencerminkan realiti sebahagian masyarakat hari ini.

“Saya mahu membawa kelainan dan menampilkan sesuatu yang lebih realistik. Ramai yang meraikan raya di bandar, jadi saya mahu mereka rasa lebih dekat dengan lagu ini,” ujarnya.

Processed with VSCO with c1 preset

Video muzik Jom Raya yang diarahkan oleh Abu Hsvii turut menampilkan Kasih Leona dan Jazmy Juma, menambahkan lagi elemen keakraban dalam menyambut Syawal. Bagi peminat yang ingin merasai suasana raya dengan pendekatan berbeza, Jom Raya kini boleh distrim di semua platform muzik, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Daiyan Trisha.

Jadi, jangan lupa strim Jom Raya – siapa tahu, mungkin liriknya kena dengan pengalaman raya anda tahun ini!