Kumpulan rock legenda Malaysia, Search, yang dianggotai oleh Datuk Amy, Man Kidal, Hillary Ang, dan Nasir Daud, telah berjaya memikat lebih 4,000 penonton menerusi konsert luar biasa, Search Symphonic Live in Kuala Lumpur, di Mega Star Arena, malam semalam. Kolaborasi hebat bersama 27 pemain orkestra ini mencetuskan suasana yang memukau, di mana peminat tegar Search menyaksikan gabungan sempurna antara ‘rock n roll’ dan muzik simfonik.
Konsert yang dianjurkan oleh Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) ini disifatkan sebagai satu kejayaan besar, menandakan kolaborasi perdana yang berjaya antara dua genre muzik yang berbeza. Persembahan bermula tepat jam 9 malam, dengan pengenalan pemain orkestra yang diketuai oleh konduktor muzik terkenal, Datuk Haji Mokhzani Ismail.

“Memang bukan satu negosiasi yang mudah tapi sebagai pemain profesional dalam bidang muzik yang sudah mempunyai pengalaman cukup luas dalam berkarya, Search bersetuju dengan konsep yang diusulkan bukan hanya kerana berkonsep orkestra tapi sebagai sokongan kugiran tersebut dalam perjuangan muzik tempatan.
“Kami mengucapkan terima kasih yang sebesarnya buat Search dan seluruh tenaga kerja,” ujar Pengarah Program Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM), Encik Mohd Roslan Mohd Rafi.


Lagu Gelora Cintaku yang dipetik dari album Mentari Merah Di Ufuk Timur menjadi pembuka tirai, menggegarkan Mega Star Arena dengan kehadiran aura legenda rock Malaysia yang amat dinanti-nantikan oleh peminat. Meskipun digabungkan dengan elemen muzik orkestra, Search berjaya mengekalkan identiti ‘rock n roll’ mereka. Ini adalah hasil kerja pengarah muzik Rie Tsuji, yang bertanggungjawab menyusun muzik untuk konsert bersejarah ini. Turut serta dalam konsert ini ialah Jenk Ali sebagai pemain dram untuk Search.

Konsert ini diilhamkan daripada sejarah pahlawan Viking, menambahkan elemen kesan muzik khas yang memberikan pengalaman sinematik kepada penonton. ‘Barang’ baharu ini mencipta trend baharu dalam industri muzik Malaysia, di mana penonton seakan-akan berada dalam sebuah filem epik sambil menyaksikan persembahan live.
Kugiran Search pula menyifatkan Search Symphony Live In Kuala Lumpur merupakan satu lagi momen terbaik yang pernah dirasai oleh peminat.


Lebih daripada 20 lagu dipersembahkan, termasuklah hit popular seperti Langit Dan Bumi, Rozana, Isi Dan Kulit, Pawana, Nigina, Fantasia Bulan Madu, dan sudah tentunya lagu ikonik Isabella. Meskipun Amy kini berusia 66 tahun, beliau tetap bertenaga seperti 30 tahun yang lalu, membuktikan daya tahan dan semangat luar biasa sebagai vokalis utama Search.
“Walaupun rendisi lagu yang sama tapi ia akan diulang kemas semula dengan pemain-pemain orkestra yang bergabung bersama Search nanti sekaligus menjadikan Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, sebagai konsert terbaik daripada kami,” ujar Amy.


Atas keprihatinan pihak penganjur dan pihak produksi setiap jualan tiket bagi konsert ini iaitu RM10 disumbangkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu artis-artis yang memerlukan. Jumlah sumbangan adalah sebanyak RM5,000.
Konsert ini sememangnya meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kepada peminat yang hadir tetapi juga dalam sejarah muzik tempatan, memperlihatkan evolusi muzik Search yang terus relevan dan memukau generasi demi generasi.
