
Foto : Papa Din
KUALA LUMPUR : Gabungan pemain gitar dan penyanyi rock terkenal tanah air, Joe dan Muss, bakal menjayakan konsert Barbarik – Pentas keras yang berlangsung pada 24 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur pada pukul 8.45 Malam.
Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir berkata, konsert yang bakal berlangsung ini akan menampilkan kelainan dari konsert-konsert sebelum ini. Beliau akan menitik beratkan produksi dari segi pencahayan dan pementasan yang berkonsepkan era 1980-an.
“Saya mahu ia benar-benar memberi impak sebagaimana konsert era 1980-an dulu terutama dari aspek pencahayaan, jadi photographer nak ambil gambar pun cantik. Saya takkan menggunakan skrin LED kerana ia cuma akan cacatkan keseluruhan konsep itu nanti,” katanya yang juga bekas pemain gitar Wings.
Menurutnya lagi, Muss akan membawakan lima buah lagu penuh tanpa henti sebaik sahaja persembahan dimulakan. Susunan lagu-lagu akan disuntik elemen baharu tapi tidak lari jauh daripada susunan asalnya.
“Kita akan mainkan lima buah lagu dari segmen pertama tanpa henti, ini bukan madley tapi lagu penuh dan saya harap penonton akan kekal terus menyaksikan persembahan kami,” katanya.

Sementara itu, Muss berkata, dia bersetuju menyertai projek Barbarik – Pentas Keras kerana kelainan yang dibawakan Joe.
“Konsert ini umpama teater bukan macam konsert biasa, dia ada kesinambungan setiap lagu. Jadi yang datang akan dapat momen itu, kita harap mereka fahamlah, kalau yang follow kami pun dah tahu, lagu ini apa cerita dia dan lagu ini ada cerita dia dan kalau bersambung dia akan jadi satu cerita,” kata Muss.
Pada September lalu, Joe dan Muss mengumumkan akan bergabung menjayakan projek konsert istimewa ini selepas 22 tahun tidak bersama atas faktor tertentu.
Ia adalah sempena album studio ke-11 Wings, Mr Barbarik yang diterbitkan pada 2000 iaitu ketika Muss menjadi penyanyi Wings.
“Joe tawarkan untuk buat projek konsert Barbarik yang diambil dari tajuk album Mr Barbarik dulu dan saya beritahu Joe saya takut tak boleh deliver tapi okay kita cuba dulu, kita ada masa sebab Joe pun dah ada idea apa nak buat dengan konsert ini.
“Lepas memulakan sesi latihan, dalam saya kata takut tak boleh deliver disebabkan umur saya yang sudah menjangkau 50 lebih, tapi bila diteruskan nampaknya ada chemistry saya dengan Joe walaupun dah 22 tahun lamanya , kita nampak kita boleh buat, cuma saya beritahu, adakah kita perform nanti sama seperti dahulu ketika dalam band atau kita buat sesuatu yang baharu?
“Joe beritahu kemungkinan ada arrangement lagu yang boleh diubah suai, mungkin untuk kesesuaian dengan usia disebabkan saya dan Joe bukan dalam band lagi. Kita nak buat sesuatu yang fresh supaya mereka yang menonton nanti dapat benda baharu, walaupun kita mainkan lagu-lagu lama.” Ujar Muss.

Lebih menarik lagi, konsert ini akan menampilkan penyanyi undangan antaranya Mael XPDC dan Asheed Def Gab C serta bekas penyanyi Wings, Mel yang pernah merakamkan album berjudul Orang Asing pada tahun 1995.
Terdahulu, Joe dan Muss pernah bergabung sebelum Muss meninggalkan Wings 22 tahun dahulu. Muss menjadi vokal utama untuk kumpulan Wings menggantikan Mel yang meninggalkan Wings pada tahun 1995. Selain Mr Barbarik, Muss dan Wings turut tampil dengan album Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul, Double Trouble 2 (bersama Search) dan album raya, Puisi Aidilfitri. Muss menyertai Wings diantara tahun 1996 hingga 2000, ketika ketiadaan vokalis utama Wings. Joe tidak lagi bersama Wings pada tahun 2016.
Tiket konsert boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my dan kategori Rock Zone berharga RM188 (Free Standing), Upper Deck berharga RM368 (Premium Seat) dan RM268 (Normal Seat).
