January 15, 2025

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2024 – Panggung Asia, Kuala Lumpur, bergema dengan sorakan peminat malam tadi apabila Konsert Rock Kapak 2 berjaya membangkitkan semangat peminat muzik rock tanah air. Seramai 300 penonton hadir menyaksikan barisan artis dan band ternama seperti Gamma, Gravity, dan Rockapak Band, ditambah penampilan istimewa Amir SYJ/Sofea serta Joe dari kumpulan Rockers, konsert ini membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan rock era 80-an dan 90-an.

Konsert yang bermula tepat jam 8.45 malam dibuka oleh kumpulan Gravity. Lagu hit mereka, Kesinambungan Cinta dari album Inspirasi (1991), membangkitkan suasana nostalgik. Penonton turut dihidangkan dengan lagu-lagu rancak yang mengembalikan memori era glam rock, lengkap dengan gaya fesyen retro dalam kalangan penonton.

Vokalis Gravity, Isa Hamzah, memukau dengan vokalnya yang kekal mantap seperti zaman kegemilangannya. Selain aktif busking, Isa kini juga menggunakan platform TikTok untuk terus berkarya dan menjana pendapatan sampingan.

Seterusnya, Rockapak Band mengambil alih pentas dengan persembahan luar biasa. Projek khas yang diilhamkan oleh Hatta ini menggabungkan pemuzik berpengalaman seperti Rosdi Desire (dram), Zam SYJ/Sofea (gitar), Mie FTG (bes), dan Rezoi (gitar). Antara lagu yang dipersembahkan adalah Bias Cinta, Akan Ku Kenang, dan Holy Diver (karya asal Dio).

“Idea untuk menubuhkan Rockapak Band ini muncul sejak 2020. Saya mahu menggabungkan pemuzik berbakat dari band terkenal seperti Junction, Desire, FTG, dan SYJ/Sofea, untuk membawa semula keaslian muzik rock. Bila peminat mahu dengar lagu-lagu klasik seperti SYJ/Sofea contohnya, Zam ada untuk menghidupkan kembali muzik itu,” jelas Hatta, yang juga bertindak sebagai penganjur bersama isterinya.

Kemuncak malam tiba dengan penampilan khas Joe dari kumpulan Rockers. Lagu ikonik Memori dan Zaileha yang dinyanyikan secara live buat pertama kali dalam lebih 30 tahun mendapat tepukan gemuruh, menghidupkan kenangan manis para peminat setia. 

Kumpulan yang popular sekitar hujung 80-an telah menghasilkan beberapa album studio antaranya Kekejaman (1988), Harakah (1989) dan Andalusia (1990). kumpulan ini telah membawakan lagu-lagu berentak Hard Rock dan Heavy Metal. Kesemua lagu Rockers adalah bertemakan perjuangan, pergolakan dan percintaan.

Amir SYJ/Sofea meneruskan kehangatan dengan lagu-lagu penuh tenaga seperti Hati Syaitan dan Orang Timur, menegaskan betapa mendalamnya pengaruh muzik rock dalam jiwa peminat meskipun zaman telah berubah.

Kedua-dua lagu tersebut pernah mencetuskan kontroversi disebabkan lirik yang ‘panas’ selain menggayakan imej seperti kumpulan rock dari barat seperti Motley Crue dan Kiss. Lantaran itu mereka menukar nama kumpulan SYJ kepada Sofea.

Kemudian, kumpulan Gamma tampil memukau dengan lagu-lagu hit seperti Bahang Asmara dari album kedua mereka, Lembayung. Vokalis legenda mereka, Rosli Mohd. Sharif atau Blank, mengagumkan dengan suara mantapnya yang digambarkan seperti “menelan kaset.”

Persembahan lagu Kembang Terhalang dari album pertama mereka mendapat sorakan gemuruh dan nyanyian bersama penonton, mengimbas kembali detik kejayaan Gamma ke peringkat akhir Juara Lagu 1990.

Walaupun usia kebanyakan anggota band sudah meningkat, semangat mereka untuk terus memeriahkan industri muzik tanah air sangat dikagumi.

Sebagai pelengkap acara, cabutan bertuah dan cenderahati eksklusif tajaan 72 Guitar Hunters, Scorpions Bikers, Mentari Merah Entertainment, Rockstage Entertainment, dan AR Travel and Tours memeriahkan lagi suasana. Anugerah Pakaian Terbaik tajaan Pemburu Buah Group turut mencuri perhatian dengan gaya glam rock yang kreatif.

Konsert Rock Kapak 2 bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kekuatan muzik rock yang tidak pernah pudar di hati peminat tanah air.