Selepas kejayaan penganjuran siri Pentas Healing yang menjadi fenomena dalam kalangan peminat muzik tempatan, Gamon Society kini bersedia melangkah ke pentas lebih besar dengan mempersembahkan konsert Gamon Music Fantasia. Acara gilang-gemilang ini dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2024 di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.
Menampilkan lima kumpulan muzik ternama – Hujan, Bunkface, Ruffedge, serta dua nama besar dari Indonesia, d’Masiv dan Kangen Band – konsert ini dijangka menarik ribuan peminat dari seluruh negara. Kesemua band ini dikenali dengan lagu-lagu hits yang dekat di hati peminat, menjadikan persembahan mereka sangat dinantikan.


Konsert Berskala Besar di Utara
Menurut Pengurus Projek, Syafiq Danish, keputusan untuk menganjurkan konsert di Pulau Pinang dibuat selepas mendapat permintaan tinggi daripada peminat, khususnya dari kawasan Utara tanah air.
“Kami pernah menganjurkan Pentas Healing di tujuh lokasi sebelum ini, dan sambutan sangat luar biasa. Idea untuk menghasilkan Gamon Music Fantasia sebenarnya dicetuskan oleh peminat sendiri yang mahukan konsert yang lebih besar dan gah,” katanya.


Beliau turut menambah bahawa lokasi Setia Spice Arena dipilih kerana mampu menampung kapasiti peminat yang besar, menjadikan ia lokasi ideal untuk pentas terakhir siri jelajah ini.
Kejutan dan Fantasi untuk Gamongers
Syafiq menjelaskan bahawa Gamon Music Fantasia akan membawa konsep unik seperti sebuah fantasi, memenuhi impian kelab peminat yang dikenali sebagai Gamongers.

“Kami ingin memastikan apa yang mereka impikan menjadi kenyataan – dari lokasi hingga kepada pemilihan band. Konsert ini juga menjanjikan kejutan khas untuk mereka yang hadir,” katanya.
Setakat ini, sambutan terhadap tiket amat menggalakkan dengan 2,000 tiket sudah terjual walaupun promosi masih di peringkat awal.
Barisan Artis Ternama
Kemunculan dua kumpulan dari Indonesia, d’Masiv dan Kangen Band, menjadi salah satu tarikan utama konsert ini. Bagi d’Masiv dan Kangen Band, ini adalah kali pertama mereka beraksi di luar Kuala Lumpur.

Azan Addin, anggota kumpulan Ruffedge, melahirkan rasa teruja dapat beraksi di Pulau Pinang. “Sudah lama kami tidak membuat persembahan di Utara. Ini peluang untuk kami kembali menyemarakkan kenangan bersama peminat di sana,” katanya.
Maklumat Tiket
Tiket konsert Gamon Music Fantasia kini boleh didapati dengan harga berikut:
• Bronze: RM90
• General Admission: RM119
• Silver: RM139
• Rockzone: RM149
• Platinum: RM155
• Gold: RM205
• VIP: RM410

Konsert ini dijangka berlangsung selama tiga jam dan bakal menjadi acara muzik terbesar di Pulau Pinang untuk tahun 2024. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan ikonik ini!