May 18, 2024

KUALA LUMPUR – Setelah membuatkan para peminat tidak tentu arah dengan usikan di media sosial tentang lagu terbaru dan gandingan yang tidak disangka sangka, kini penyanyi terkenal dengan lagu Satu Peluang, Donde dan beberapa lagu lagi berganding bahu dengan pempengaruh media sosial yang terkenal, Ryan Bakery dalam lagu raya terbaru mereka yang berjudul ‘RAYA LAST MINIT’.

Andi Bernadee yang kini sibuk dengan penggambaran untuk drama arahan Erma Fatima ini meluahkan rasa syukur kerana dapat merealisasikan rancangannya. “Drama ni akan habis penggambaran pada penghujung bulan Mei. Selepas itu, Andi nak fokus untuk menyiapkan beberapa lagu lagi untuk dimuatkan didalam album Andi,” jelas Andi Bernadee.

Andi Bernadee

Menceritakan perjalanan seninya, Andi Bernadee berkata, “Perit rasa bila nak cerita bermulanya Andi Bernadee. Dari awal lagi Andi dah masuk macam-macam program nyanyian di TV. Cuma rezeki waktu itu belum berpihak kepada Andi. Tetapi Andi yakin, pasti ada rezeki untuk Andi jika Andi berusaha. Jujurnya Andi nak bocorkan rahsia sikit. Sebenarnya Andi pernah berfikir untuk putus asa. Andi pernah bagitahu pengurus Andi bahawa lagu Satu Peluang adalah lagu terakhir Andi. Kalau lagu tu tak menjadi dan Andi masih berada di tempat yang sama je, Andi dah tak mahu berada dalam industri ini lagi. Tetapi mungkin sebab lagu tu macam meminta ‘berikan aku hanya satu peluang’, Alhamdulillah bertitik tolak dari sinilah kerjaya Andi makin diterima peminat. Andi sangat berterima kasih kepada semua peminat Andi dan paling istimewa buat ANDIDEARS sampai ke hari ini mereka masih menjadi tulang belakang seorang Andi Bernadee”.

Andi menjawab soalan media sewaktu sidang media

Manakala pemilik nama Muhammad Ryan Fahmi Bin Bakery atau lebih terkenal dengan nama Ryan Bakery pula menyatakan Ramadan kali ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana tahun ini beliau sibuk dengan penggambaran drama, kempen di media sosial dan juga hampir setiap hari Ryan memenuhi undangan berbuka puasa dari berbagai pihak. Pemuda yang berusia 27 tahun ini menyatakan, “Semuanya bermula daripada media sosial. Di saat pandemik dan apabila kehilangan kerja, saya mula aktif dalam menghasilkan pelbagai konten menarik di media sosial iaitu TikTok. Apabila kebanyakan video tersebut viral dan mendapat tempat di hati peminat, ia membawa nama saya menjadi lebih dikenali sehinggakan saya dipanggil ke program televisyen sebagai tetamu undangan. Dari situ, rezeki saya dalam bidang ini semakin murah dan lebih banyak tawaran lain diterima. Meskipun masih baru, semua ini merupakan satu perjalanan manis buat saya”.

Ryan Bakery

‘RAYA LAST MINIT’ ciptaan komposer terkenal iaitu Firdaus Rahmat bersama sama dengan Iqie Hugh dan John Jeeves ini menceritakan situasi persiapan raya last minute. Semua persiapan untuk menyambut raya dilakukan di saat akhir contohnya lupa nak selit duit dalam sampul raya, pakai songkok secara senget dan lupa beli tiket untuk balik raya. Kesemua ini tertera di dalam lirik untuk lagu ‘RAYA LAST MINIT’ dan para pendengar pasti akan rasa dekat kerana ada sebahagian daripada kita pernah berhadapan dengan situasi beraya di saat-saat akhir. Suasana kelam kabut yang dilalui itu dijadikan idea utama untuk ‘RAYA LAST MINIT’ ini.

“Pihak pengurusan bagitahu Andi tentang satu projek lagu raya berduet dengan TikTokers terkenal dan viral iaitu Ryan Bakery. Andi terus jawab YES, tapi nak kena pilih dan dengar lagu dulu samada sesuai atau tidak dengan karakter kami berdua. Bila dapat ‘demo’ lagu ni Andi rasa ada satu vibes yang boleh ‘go’ dengan Ryan. Hasilnya seperti yang anda dengar hari ini”, jelas Andi Bernadee.

Ryan dan Andi mendendang lagu Raya yang baru dilancarkan

Idea untuk menghasilkan single ini tercetus daripada syarikat pengurusan saya iaitu FYP Media. Mereka mahu saya menyanyikan sebuah lagu raya untuk memeriahkan industri. Saya dah pernah berlakon dan terlibat dalam beberapa kerja seni yang lain, mengapa tidak cuba menyanyi. Walaupun risau pada peringkat awal untuk merakamkan lagu, semua itu jadi menarik apabila bertemu dengan Andi Bernadee di studio”, terang Ryan Bakery.

Video muzik ‘RAYA LAST MINIT’ ini ditaja sepenuhnya oleh SNICKERS. Menjelaskan tentang konsep video muzik ini, Ryan menyatakan “Sebenarnya banyak idea muncul saat kami mahu menghasilkan konsep MV. Tapi kita pilih kisah dua beradik yang sibuk bekerja sehingga terlupa membeli tiket. Mereka gagal membeli tiket dan akhirnya mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke kampung halaman. Pelbagai insiden lucu dan menarik perhatian sepanjang perjalanan pulang. Akhirnya apabila sampai di kampung, kesemua ahli keluarga dan saudara mara tiada di rumah. Rupanya mereka beraya di bandar”.

Sedutan babak dalam video muzik

“Saya sangat berharap lagu ini boleh menjadi salah satu lagu raya yang wajib didengar sampai bila- bila, maksud Andi biar jadi evergreen. Sebenarnya ini lah lagu raya yang pertama Andi rakamkan sepanjang karier seni Andi. Masa awal kemunculan dulu Andi ada single lagu sahur yang berjudul Semalam Sahur Di Mana”, ujar Andi Bernadee.

Manakala bagi Ryan pula, “Saya berharap agar lagu ini akan diterima baik oleh peminat dan para pendengar. Ini merupakan lagu pertama saya dan digandingkan pula dengan penyanyi berpengalaman, pastinya saya mahu peminat menyukainya. Lagi penting saya mahu mereka menjadikan Raya Last Minit sebagai lagu tema untuk semua menyambut Aidilfitri pada tahun ini”.

Andi dan Ryan bersama penaja

Lagu ‘RAYA LAST MINIT’ kerjasama Warner Music Malaysia dan FYP Media ini boleh didapati di kesemua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini. Manakala video muzik rasmi ‘RAYA LAST MINIT’ boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia jam 10 malam ini.

Raya Last Minit (audio)