Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025: Keperluan perbincangan menyeluruh

KUALA LUMPUR, 22 Mac 2025 – Organisasi pengurusan kolektif industri muzik, termasuk Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM), telah menyatakan kebimbangan terhadap Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang diterbitkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 17 Januari 2025. Kebimbangan ini turut merujuk kepada kenyataan media Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Armizan Bin Mohd Ali, pada 17 Mac 2025.

Dalam sesi libat urus yang diadakan oleh Bahagian Hak Cipta MyIPO pada 12 Mac 2025, MACP, PPM, dan RPM telah menyuarakan pendirian bahawa Garis Panduan tersebut dimuktamadkan tanpa konsultasi menyeluruh dengan pihak berkepentingan. Lebih membimbangkan, beberapa peruntukan dalam Garis Panduan ini didakwa melampaui bidang kuasa yang ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 serta bercanggah dengan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Garis Panduan ini bertujuan untuk memperkemaskan tadbir urus dan operasi organisasi pengurusan kolektif (CMO) di Malaysia. Namun, pendekatan yang digunakan dalam penyediaannya menimbulkan keraguan di kalangan CMO dan pemegang hak cipta. Beberapa peruntukan dikatakan menghakis autonomi CMO dalam menjalankan fungsi utama mereka, iaitu melindungi hak dan kepentingan pemegang hak cipta.

Pendirian Pemimpin Industri

Pengerusi MACP, Dato’ Mohd Nasir bin Mohamed, menegaskan bahawa organisasi tersebut sentiasa mengikut amalan terbaik antarabangsa sebagai ahli CISAC (International Confederation of Societies of Authors and Composers).

“Kami menghormati usaha kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus industri hak cipta. Namun, pelaksanaan garis panduan ini tanpa perbincangan yang mencukupi boleh menjejaskan ekosistem hak cipta dan kelangsungan hidup pencipta yang bergantung kepada pendapatan royalti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPM, Rosmin bin Hashim, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesan garis panduan ini terhadap pelabur industri muzik tempatan.

Rosmin bin Hashim

“PPM adalah ahli IFPI (International Federation of the Phonographic Industry) dan sentiasa berusaha menambah baik operasi mengikut piawaian antarabangsa. Kami menyambut baik inisiatif MyIPO, tetapi rundingan yang lebih mendalam diperlukan bagi memastikan garis panduan ini benar-benar melindungi kepentingan ahli kami. Sekiranya ia diterbitkan tanpa pindaan yang sewajarnya, ia boleh menjejaskan pendapatan pelabur dan ekonomi negara,” ujarnya.

Pengerusi RPM, Dato’ Hajah Sheila Majid, menekankan bahawa organisasi tersebut bukan sahaja mewakili artis tempatan tetapi juga artis antarabangsa. “Kami komited kepada tadbir urus yang berlandaskan piawaian global. Namun, garis panduan yang diperkenalkan ini menunjukkan banyak percanggahan. Tanpa perbincangan yang adil dan telus, ia boleh memberi kesan negatif kepada bayaran royalti artis dan masa depan industri muzik,” jelasnya.

Pengerusi RPM, Dato’ Hajah Sheila Majid

Seruan kepada Pihak Berkuasa

Sebagai badan yang bertanggungjawab dalam melindungi hak pemegang hak cipta, MACP, PPM, dan RPM menegaskan bahawa sebarang perubahan regulatori perlu dibuat secara telus dan melalui rundingan yang menyeluruh. Langkah pengenalan garis panduan ini tanpa konsultasi mencukupi boleh memberi impak negatif kepada operasi CMO, pemegang hak cipta, dan keseluruhan industri muzik Malaysia.

Ketiga-tiga organisasi ini menghargai jaminan pihak berkuasa bahawa garis panduan tersebut hanya akan dimuktamadkan selepas penglibatan menyeluruh dengan pemegang taruh. Oleh itu, mereka menggesa KPDN dan MyIPO untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan sebarang perubahan tidak menjejaskan kepentingan industri muzik.

MACP, PPM, dan RPM kekal komited dalam memastikan sistem pengurusan hak cipta di Malaysia terus adil, telus, dan sejajar dengan perundangan sedia ada demi kepentingan pemegang hak cipta dan perkembangan industri muzik negara.