Garis Panduan Hak Cipta Perkasa Penggiat Muzik: Langkah ke arah tatakelola lebih baik

KUALA LUMPUR – Para penggiat muzik tanah air menyambut baik penerbitan Garis Panduan Hak Cipta: Organisasi Pengurusan Kolektif oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO), yang dijangka memperkukuh tatakelola, meningkatkan transparensi, dan memperbaiki pertanggungjawaban organisasi pengurusan kolektif (CMO) dalam industri muzik tempatan.

Garis panduan ini hadir sebagai solusi terhadap pelbagai isu yang telah lama membelenggu pemegang hak cipta, khususnya dalam aspek pengurusan royalti. Organisasi Pengurusan Kolektif berperanan memungut dan mengagihkan bayaran royalti bagi pihak pemegang hak, namun selama ini wujud pelbagai rungutan mengenai ketelusan dan kecekapan proses tersebut.

Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan, dalam kenyataannya menegaskan bahawa langkah ini adalah hasil usaha berterusan pihak MYIPO yang telah menjalankan pelbagai siri perbincangan dan sesi libat urus bersama penggiat muzik sejak tahun 2023. Usaha ini dimulakan semasa kepimpinan Allahyarham YB Dato’ Seri Salahuddin Ayob dan diteruskan oleh YB Datuk Armizan Bin Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Antara sesi perbincangan penting yang telah diadakan termasuk:

  • Sesi Libat Urus Hak Cipta Industri Muzik – 29 Ogos 2023, MaTiC, Kuala Lumpur.
  • Bengkel Royalti dan Hak Cipta Industri Muzik – 1-3 Disember 2023, Hotel Wyndham Grand Bangsar, Kuala Lumpur, melibatkan penggiat muzik dan wakil-wakil organisasi seperti MACP, RPM, PPM, MRS, dan MRSB.
  • Edaran Kertas Konsultasi Awam dengan organisasi pengurusan kolektif dan Persatuan Industri Muzik (KARYAWAN dan 3P Muzik Malaysia) dari 20 Jun hingga 5 Julai 2024.
  • Sesi Libat Urus bersama Pengguna Karya dan Penggiat Seni – 1 Oktober 2024.
Bengkel Royalti dan Hak Cipta Industri Muzik

Melalui kajian yang mendalam dan konsultasi menyeluruh, garis panduan ini diyakini mampu membawa perubahan positif dalam industri muzik Malaysia. Ia bukan sahaja menjamin keadilan bagi artis yang sudah terkenal, malah turut membela nasib ribuan penggiat seni yang bergantung kepada hasil karya mereka untuk meneruskan kehidupan.

Garis panduan ini juga diharap dapat mengharmonikan hubungan antara penggiat muzik dan pengguna karya muzik. Pihak industri percaya bahawa organisasi pengurusan kolektif yang profesional seharusnya menjadi penghubung yang efektif dan bukannya mencetuskan ketegangan. Selama ini, terdapat aduan mengenai ketidakcekapan dan sikap sesetengah organisasi yang dikatakan tidak beretika dan kurang telus dalam menguruskan hak royalti pemegang hak cipta.

Dengan penguatkuasaan Seksyen 27M dalam Akta Hak Cipta Malaysia, MYIPO kini mempunyai kuasa untuk memastikan garis panduan ini dilaksanakan dengan efektif. Komitmen politik yang ditunjukkan oleh YB Datuk Armizan Bin Mohd Ali dalam memperjuangkan hak penggiat muzik turut mendapat sokongan penuh daripada industri.

“Kami menyokong dan mendokong penuh pelaksanaan Garis Panduan Hak Cipta ini kerana ia akan memastikan keadilan serta keseimbangan dalam ekosistem muzik negara,” ujar Aris Ariwatan.

Langkah ini diyakini bakal mencorakkan landskap industri muzik Malaysia ke arah yang lebih adil dan mampan, sekaligus memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.