“GBAD” Dedah Sisi Gelap Jackson Wang Dalam Album Baharu Magic Man 2

KUALA LUMPUR, 12 April 2025 – Bintang sensasi antarabangsa, Jackson Wang, sekali lagi mencuri tumpuan dunia hiburan dengan pelancaran single terbaharunya bertajuk “GBAD”, yang merupakan sebahagian daripada album akan datangnya, Magic Man 2, dijangka menemui peminat pada tahun 2025.

Single yang baharu sahaja dilancarkan ini membawa mesej berani dan penuh keyakinan, menandakan satu lagi fasa penting dalam perjalanan kerjaya seni Jackson. “Kadangkala, kita perlu menjadi tegas. Bukan untuk menyakiti sesiapa, tetapi untuk mempertahankan diri dan menetapkan sempadan,” kata Jackson, mengulas mengenai inspirasi di sebalik lagu tersebut.

Dengan sentuhan sinis namun penuh makna, GBAD menyerlahkan sisi peribadi Jackson yang lebih matang dan tidak lagi takut untuk kelihatan ‘jahat’ di mata orang lain demi mempertahankan prinsip hidupnya. Lagu bergenre alt-R&B ini menampilkan gandingan vokal unik Jackson bersama susunan muzik jazz santai hasil ciptaan penerbit terkenal dan pemenang Anugerah Grammy, Dem Jointz.

Jackson Wang ketika melakukan penggambaran video muzik

Video muzik GBAD yang diarahkan oleh Rich Lee membawa penonton ke sebuah pekan fiksyen yang kelihatan sempurna, di mana Jackson, menerusi watak alter ego Magic Man-nya, sering dipanggil untuk menyelamatkan keadaan. Namun, di sebalik suasana surrealis dan elemen komedi gelap yang dipaparkan, video tersebut menyentuh isu mendalam seperti krisis identiti dan perasaan tidak dihargai — menggambarkan realiti dalaman yang turut dialami oleh Jackson sendiri.

Sebelum ini, Jackson telah memperkenalkan single “High Alone”, sebuah lagu yang mengupas tema kesunyian dan kehancuran diri, sekali gus memberi gambaran awal tentang kedalaman emosi dalam album Magic Man 2. Lagu tersebut telah mencatat kejayaan membanggakan apabila menduduki tempat pertama di Apple Music di 22 negara dan wilayah.

Album penuh Magic Man 2, yang diterbitkan sepenuhnya oleh Jackson sendiri selepas lebih setahun proses kreatif, dibahagikan kepada empat babak yang masing-masing mewakili fasa berbeza dalam proses kesedihan: dari penafian yang penuh euforia, ke pergelutan identiti, pembebasan daripada keinginan menggembirakan orang lain, sehinggalah kepada penerimaan dan kedamaian. Ia dianggap sebagai karya paling peribadi dan tulen Jackson setakat ini.

Jackson Wang ketika melakukan penggambaran video muzik

Watak Magic Man yang mula diperkenalkan menerusi album Magic Man pada tahun 2022 — yang turut mencatat kejayaan di carta Billboard — kini diteruskan dalam sekuel ini dengan naratif yang lebih mendalam. Kali ini, topeng yang dipakai oleh Jackson mula terlerai, memperlihatkan kebenaran yang lebih tulus tentang perjuangan dan emosi sebenar beliau.

Sebagai figura berpengaruh global, Jackson kini mempunyai lebih 100 juta pengikut di media sosial, menjadikannya artis dari China paling ramai pengikut di Instagram. Beliau turut melebarkan pengaruhnya ke dunia fesyen dan jenama antarabangsa, apabila dilantik sebagai Pengarah Kreatif Nike dan Jordan, serta duta global untuk Louis Vuitton, Cartier dan Hennessy.

Pelancaran GBAD bukan sahaja menandakan permulaan kepada bab baharu dalam karier muzik Jackson Wang, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon budaya pop moden yang merentasi sempadan muzik, fesyen dan ekspresi diri.