January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Festival Gebyar Nusantara 2024, yang berlangsung hujung minggu lalu, tidak hanya menjadi platform mempromosikan budaya dan mengeratkan hubungan antara Indonesia dan Malaysia. Acara ini turut meraikan persahabatan erat insan seni dari dua negara serumpun.

Festival yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur ini menjadi medan bagi penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Allen Anderson, untuk mendekati peminat di Malaysia.

Jejaka kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara itu, menyatakan rasa syukurnya atas penerimaan positif peminat di Malaysia yang memberikan keyakinan untuk terus mengembangkan kariernya. Allen, yang terkenal menerusi lagu Rindu dan Ku Mau Bahagia, menganggap peluang ini sebagai momen istimewa untuk berkongsi bakat dan cintanya terhadap muzik.

“Sebelum ini, saya lebih banyak tampil dalam persembahan tertutup. Namun, di pentas terbuka seperti Gebyar Nusantara 2024, saya berusaha memberikan yang terbaik kerana setiap persembahan membawa pengalaman berharga. Undangan ini adalah satu penghargaan besar buat saya,” kata Allen.

Festival selama dua hari, iaitu pada 30 November dan 1 Disember lalu, turut menampilkan pelbagai bakat tempatan seperti Erul Samah dan JZ Vibes, serta persembahan galau dari dua kumpulan muzik, Kureiji dan Patriots, yang mendendangkan lagu-lagu popular Indonesia.

Lebih menarik lagi, pengunjung berpeluang bertemu dengan bintang utama drama seram Indonesia, Zona Merah, seperti Devano Danendra, Maria Theodore, dan Andri Mashadi di festival yang berlangsung di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX).

Mengukuhkan Hubungan Budaya Serumpun

Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono, menyatakan bahawa Gebyar Nusantara 2024 bukan sahaja mempromosikan Indonesia melalui pelancongan, makanan, kesenian, dan ekonomi kreatif, tetapi juga mengeratkan hubungan budaya antara kedua-dua negara.

“Acara ini mencerminkan ikatan budaya yang mendalam antara Indonesia dan Malaysia, sekaligus mempromosikan keunikan warisan kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Khairul Firdaus Akbar Khan, turut menyokong usaha ini dan menekankan pentingnya acara seperti Gebyar Nusantara dalam membuka peluang kerjasama dalam sektor pelancongan serantau.

“Perkongsian budaya dan warisan unik antara Malaysia dan Indonesia menjadi asas kukuh untuk kerjasama dalam mempromosikan destinasi pelancongan. Saya berharap acara ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama,” ujar Khairul Firdaus.

Diplomasi Ekonomi Melalui Seni dan Budaya

Gebyar Nusantara 2024 adalah festival diplomasi ekonomi yang mempamerkan keindahan seni, makanan, dan destinasi pelancongan Indonesia kepada masyarakat Malaysia. Pengunjung diberi peluang merasai pengalaman autentik Nusantara, dari persembahan tarian tradisional seperti Gambang Kromong dan variasi tari Nusantara hingga ke hidangan asli Indonesia.

Acara ini turut menampilkan persembahan daripada pelajar Sekolah Indonesia Kuala Lumpur, menambahkan lagi warna budaya kepada suasana festival.

Duta Indera Hermono menutup dengan optimisme:

“Insya-Allah, dengan sokongan masyarakat yang besar, saya yakin kita dapat menganjurkan acara yang lebih besar tahun hadapan.”

Gebyar Nusantara 2024 membuktikan bahawa seni dan budaya adalah jambatan persahabatan yang mampu menyatukan masyarakat serantau, sekaligus memupuk persefahaman yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia.