KUALA LUMPUR, 11 Mac 2025 – Festival jualan raya paling dinanti-nantikan, Gerobok Biru Gegak Gempita Raya, bakal berlangsung di WTC Kuala Lumpur dari 14 hingga 24 Mac 2025. Selama 11 hari dan 196 jam tanpa henti, festival ini bukan sekadar pameran jualan, tetapi sebuah pengalaman penuh warna-warni yang menggabungkan festival raya dan festival makanan dalam satu acara besar-besaran. Dengan tagline “Shopping Awal Tak Kalut”, festival ini menggalakkan orang ramai untuk membuat persiapan Hari Raya lebih awal tanpa perlu bersesak pada saat-saat akhir.
Acara ini mencipta sejarah dengan pencapaian yang bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai festival raya terpanjang dan terlama di Malaysia. Gerobok Biru Gegak Gempita Raya menjanjikan pengalaman membeli-belah yang luar biasa dengan pelbagai tarikan istimewa yang telah dirancang, termasuk cabutan bertuah harian yang menawarkan lebih daripada 300 keping syiling emas serta hadiah utama berupa sebuah kereta elektrik (EV Car), menjadikannya festival jualan raya yang penuh dengan ganjaran menarik.

Lebih daripada sekadar tempat membeli-belah, festival ini juga dijangka menjadi pusat hiburan yang menghidupkan suasana raya dengan pelbagai aktiviti menarik. Setiap malam, pentas utama akan menampilkan persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air, memastikan pengunjung disajikan dengan hiburan berkualiti sepanjang festival. Selain itu, festival ini turut menampilkan 80 booth makanan eksklusif yang dikendalikan oleh Rasa Fusion Food Festival, menawarkan pelbagai juadah enak bagi memeriahkan suasana Ramadan. Ini menjadikannya festival pertama yang menggabungkan pameran raya dan festival makanan dalam bulan puasa, memberikan pengalaman unik kepada para pengunjung.
Keunikan festival ini juga diperkukuhkan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang dirancang khas bagi menarik minat pengunjung. Antaranya adalah penyertaan vendor terpilih dalam live booth percuma yang membolehkan mereka mempromosikan produk secara langsung kepada pengunjung. Sesi podcast harian turut diadakan sepanjang festival, membincangkan pelbagai topik menarik berkaitan persiapan raya, trend terkini dalam industri fesyen dan kecantikan, serta tip membeli-belah bijak menjelang musim perayaan.

Sebagai tambahan, festival ini akan dimeriahkan dengan kehadiran jenama terkenal seperti Prima Valet, yang bakal membawa barisan duta mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan pengunjung. Selebriti dan influencer popular seperti Ashraf Muslim, Kak KM, Emy Takal, Ifik Takal, Bella Hanna, Aisyah Rahim, Nurul Ellyna, Iddin Ramli, serta beberapa food influencers lain juga dijangka akan turut serta, menambahkan daya tarikan festival ini sebagai acara yang wajib dikunjungi.
Dalam sidang media yang diadakan semalam, di Marble Stage, Level 2, WTC Kuala Lumpur, pihak penganjur Mivas City Sdn Bhd bersama rakan strategik berkongsi lebih lanjut mengenai pelbagai aktiviti dan kejutan menarik yang bakal berlangsung sepanjang festival ini. Acara ini bukan sekadar festival jualan biasa, tetapi satu platform yang mengangkat keunikan budaya, gaya hidup, dan tradisi rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dengan pelbagai pilihan fesyen raya, biskut tradisional, gajet dan telco, dekorasi rumah, produk kecantikan, serta pelbagai lagi barangan keperluan perayaan, festival ini menawarkan segala yang diperlukan oleh pengunjung di bawah satu bumbung. Ia juga menjadi ruang perniagaan yang luas bagi usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka kepada khalayak yang lebih besar.
Acara ini mendapat sokongan penuh daripada WTC Kuala Lumpur sebagai Official Venue, Specta sebagai Strategic Partner, Rasa Fusion Food Festival sebagai Official Food Festival, Ombak Exclusive sebagai Official Printing Partner, serta VNM Studio sebagai Official Media Partner.
Orang ramai dijemput untuk menyaksikan sendiri kemeriahan festival ini dan menikmati pengalaman membeli-belah yang luar biasa. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Mivas City Sdn Bhd melalui email di sa***************@***il.com atau layari laman media sosial di TikTok, Facebook, dan Instagram: @gerobokbiru.