KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya setelah bertahun-tahun menunggu, sudah sampai masanya untuk Pretty Ugly membuat persembahan konsert solonya sendiri. Konsert yang bakal diadakan telah dianjurkan oleh CD Bagasi Music.
Setelah banyak band dari dalam dan luar negara yang sudah beraksi di pentas, kini giliran Pretty Ugly pula akan mengadakan konsertnya pada 25 Februari 2023 bertempat di The Paddock PJ, Kelana Jaya bermula jam 8 malam.
Acara yang julung-julung kali diadakan ini adalah untuk meraikan ulangtahun ke-21 keberadaan Pretty Ugly di dalam industri muzik.
Selain dari itu, ia juga sebagai hadiah terindah buat peminat setia setelah sekian lama menyokong muzik Pretty Ugly. Konsert Solo pertama Pretty Ugly akan turut menampilkan dua buah kumpulan yang boleh dikatakan baharu dalam industri muzik iaitu Late Night Frequency dan juga Banyakbunyikrepublik. Kedua-dua band ini dipilih sendiri oleh Pretty Ugly kerana minat pada konsep muzik yang mereka bawa.
Bagi meraikan ulangtahun ke-21 Pretty Ugly, sebanyak 21 buah lagu akan dipersembahkan pada malam itu nanti.
Menariknya, satu segmen tribute khas untuk Allahyarhamah Siti Sarah akan dipersembahkan di mana lagu ciptaan Neves untuk Allahyarhamah yang pernah menjadi lagu hit radio iaitu ‘Jangan Kau Mimpi’ akan dimainkan dalam versi Pretty Ugly pada malam tersebut. Neves pernah terlibat sebagai penerbit dan pencipta lagu di dalam tiga album pertama Siti Sarah.Â
Tiket konsert sudah mula dijual sejak 16 Disember yang lalu secara dalam talian di http://prettyugly.ubertickets.asia. Harga tiket bermula serendah RM90 (Early Bird), RM110 (Normal) dan RM150 (Walk In). Kesemua tiket adalah free standing. Keistimewaan akan diberikan kepada pembeli tiket meet & greet yang berharga RM190 dimana mereka mempunyai tempat duduk khas dan akan disediakan kudapan.
Untuk sebarang maklumat berkaitan Konsert Pretty Ugly 21, boleh menghubungi Azahari Jaafar di talian 017- 2370549 atau Amiruddin Karim di talian 013-2199103.