December 5, 2023

KUALA LUMPUR : “Kita cuma nak enjoy (menikmati) dan merasai pengalaman ini, tiada yang lain, bukan sebab bla, bla, bla…Gua sayang lu orang semua!” Itu kata-kata yang diluahkan oleh pemain gitar utama kumpulan rock lagenda Search, Hamzah Mohd Taib atau lebih dikenali dengan nama Kid di hadapan ribuan penonton yang hadir bagi menyaksikan persembahan konsert ‘Search Rockin’ On Rooftop’, malam tadi.

Menurut Kid, beliau tidak menyangka dengan kehadiran lebih 3,000 peminat dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan persembahan mereka yang berlangsung dengan penuh meriah dan luar biasa di dataran bumbung pusat membeli belah Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi.

Meskipun persembahan agak lewat sedikit akibat hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur, namun rata-rata peminat tidak sedikit pun mengeluh dan berganjak demi melihat idola mereka dalam membuat persembahan. Selain Kid, penonton yang hadir menyaksikan konsert tersebut berpuas hati dan berbaloi dengan persembahan bertenaga yang dipersembahkan oleh Denden Gonjalez selaku vokalis, Din (gitar), Yan (bes), pemain dram baharu, Minn dan juga Firdaus yang merupakan pemain keyboard.

Mengulas mengenai vokalis baharu Search, Denden yang berasal dari Kota Bandung, Indonesia, beliau memberikan persembahan yang cukup luar biasa untuk memberikan kepuasan maksimum kepada penonton dan menepati segala perancangan kumpulan itu. Walaupun berpeluang bersama dalam waktu yang sangat singkat, namun mereka tetap menggandakan usaha dan latihan setiap hari agar konsert ini berjalan dengan lancar.

Persembahan yang penuh bertenaga diberikan oleh mereka dalam konsert Search Rockin’ On Rooftop

Bagi King of Rhythm, Din atau nama sebenarnya Nordin Mohd Taib, Konsert yang diadakan bersama vokalis baharu ini adalah untuk meneruskan legasi Search yang sudah 41 tahun ditubuhkan. Dalam konsert tersebut, Denden memberikan sepenuh tenaga yang ternyata mampu memukau semua yang hadir.

Konsert yang berlangsung selama dua jam tersebut menyaksikan persembahan 17 buah lagu yang jarang diperdendangkan dalam setiap konsert Search. Denden melontarkan vokalnya dengan lagu pembukaan yang dipetik dari album Fenomena, berjudul Bencana. Seterusnya penonton dihiburkan dengan lagu-lagu pilihan terbaik Search antaranya Metropolitan, Pasti, Purnama, melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Emannuelle, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Teguh dan lagu popular Search Fantasia Bulan Madu.

Ratu Rock tanahair, Ella turut memeriahkan konsert tersebut dengan mendendangkan lagu popular Search Melayar Bahtera dan lagu duet bersama Denden berjudul Bayangan.

Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang dibawakan oleh Search Rock Station ini, turut dihadiri barisan artis antaranya Hattan, M. Nasir, ritz Metalasia, Ezad lazim, Tam Spider dan ramai lagi.

Boleh dikatakan ini adalah konsert Rock ‘n Roll yang paling terbaik dari segi sistem bunyi, permainan anggota Search dan vokal Denden yang begitu bertenaga sekali. Benarlah, ramai yang bersetuju bahawa bunyi Search itu ada pada Din dan Kid.

Ella turut menyumbangkan dua buah lagu duet bersama Denden
Vokal Denden Gonjalez memukau lebih 3,000 penonton yang hadir dalam konsert tersebut
Tonggak utama kumpulan Search, gandingan adik beradik Kid dan Din
Aksi pemain bes Search, Yan turut memberikan persembahan yang terbaik
Ketukan padu oleh pemain dram baharu yang lebih dikenali sebagai Minn
Ribuan penonton yang hadir menyaksikan konsert Search ‘Rockin’ On Rooftop’