GUNA NAMA SEARCH TANPA KEBENARAN : TINDAKAN GUAMAN AKAN DIAMBIL

KUALA LUMPUR, 22 MEI 2021 – Kumpulan rock legenda, Search termasuk waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad menuntut sebuah syarikat atas nama “Home of Champions” untuk menghentikan kegiatan dan perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan berkenaan tanpa kebenaran.

Bekas penyanyi kumpulan Search, Amy; pemain bass, Nasir dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad memberi tempoh tujuh hari terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

Nasir Search

Nasir berkata, mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat berkenaan gagal berbuat demikian.

“Sekiranya gagal, kami akan mendapatkan nasihat guaman dan memulakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media secara langsung menerusi Instagram Live akuamysearch, malam tadi.

Amy, Nasir dan anak lelaki Yazit, Shahmirnuri atau Boy dalam sidang media secara langsung menerusi Instagram Live

“Saya katakan perkara yang mereka nak buat mesti dibawa ke pengetahuan semua termasuk Amy. Perkara-perkara tersebut bukan kecil. Ia meliputi imej, harta intelek dan sejarah Search 40 tahun. Kita hanya dapat tahu melalui kenalan kenalan kami dan juga media sosial.” Katanya.

“Kali terakhir saya bersemuka dengan Mozylir beberapa hari sebelum puasa tahun ni. Mozylir datang bertanya jika saya mahu ikut ke Melaka untuk showcase Search dan saya tidak mahu mencampuri showcase tersebut kerana itu bukan Search.

Saya beritahu Mozylir supaya jangan sesekali gunakan nama Search. Kalau Nordin atau Kid nak buat showcase, gunalah nama Din Search & Kid Search feat. Akim.” Ujar Nasir.

Nasir memberitahu bahawa motif syarikat tersebut hanya bertujuan ingin membuat bisnes melalui jenama Search. Mereka juga akan mengemukakan surat tuntutan peguam meminta individu terbabit mendedahkan untuk akaun-akaunnya dan perniagaan membabitkan nama Search.

Amy Search

Menurut Amy, “nama Search sudah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan ia adalah milik lima anggotanya iaitu Amy, Nasir, Nordin, Kid dan Yazit. Jika salah seorang daripada mereka mahu menjalankan perniagaan menggunakan nama Search, ia perlu mendapat kebenaran semua”. Ujar Amy.

Tambah beliau “Din dan Kid boleh menggunakan nama Search dengan persetujuan bersama. Saya, Nasir dan dan waris arwah Yazit tidak pernah bersetuju berhubung kegiatan perniagaan syarikat berkenaan.”

showcase ‘Rockology Search X Akim’

Berkenaan showcase ‘Rockology Search X Akim’ yang hanya melibatkan nordin dan Kid, Amy berkata “Nasir, waris Arwah dan saya tidak pernah bersetuju kepada branding “baru” Search tersebut.

“Masa Arwah Yazit sakit, kami semua dah setuju yang jika apa-apa jadi pada Arwah, kami tak akan ambil mana-mana pemain drum lain untuk ganti Arwah. Jika ada show kami akan pakai drummer undangan. Kami juga semua setuju yang mana-mana drummer undangan akan dapat 20% dari fee dan 80% akan diberikan kepada Waris Arwah Yazit. Kami dah setuju semua ni.” Katanya.

Diaju soalan berkenaan pengunduran Amy dari Search, beliau menjawab “masa saya umum saya keluar, saya ada perselisihan faham dengan Nasir. Kami dah berdamai dah. Biasalah kawan-kawan lama. Tak pernah pun kami bincang tentang saya berundur secara tetap. Hak-hak saya atas nama dan aset-aset Search tak pernah orang kata saya hilang atau lepaskan. Itu hak saya, hak Nasir, dan hak Waris Arwah Yazid.” Jelas Amy.

Kumpulan Search