April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Pertandingan Big Stage musim ke-5 (BS5) yang baharu sahaja melabuhkan tirainya telah menyaksikan peserta bernama Nadeera Zaini, 30, dinobatkan sebagai juara. Dalam memacukan perjalanan seninya yang baharu sahaja bermula, label hiburan terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment menghadiahkan lagu baharu khas buat Nadeera sebagai penghargaan terhadap kemenangannya.

Menurut Pn. Azlin Reza Azmi, Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, “Sesungguhnya pihak Astro amat berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh Nadeera. Sepanjang sepuluh minggu berentap, ramai telah menyaksikan kesungguhan serta kemampuan penyanyi ini yang sememangnya layak bergelar juara.

Nadeera Zaini (tengah) dinobatkan sebagai juara Big Stage musim ke-5

“Ternyata Big Stage merupakan tempat lahirnya bintang-bintang industri muzik baharu yang berkemampuan untuk mencapai kejayaan pada tahap internasional. Oleh itu, pihak Rocketfuel berbesar hati menghadiahkan sebuah lagu ciptaan komposer tersohor dari Korea Selatan, Hyuk Shin yang merupakan pencipta lagu ‘One Less Lonely Girl’ nyanyian penyanyi antarabangsa terkemuka, Justin Bieber. Kami berharap Nadeera mampu mengorak langkah dengan lebih jauh lagi dengan lagu yang bakal dirakamkan nanti.”

Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd sememangnya menghargai bakat-bakat baharu yang lahir dari pertandingan realiti terutamanya terbitan Astro, dan sebagai tanda sokongannya terhadap industri muzik Malaysia, pendekatan sebegini selalunya diambil agar artis tersebut dapat berkembang lebih maju pada masa hadapan.

En. Prem Anand, Ketua Rocketfuel Entertainment, “Rocketfuel sememangnya memberikan sokongan dan galakan 100% untuk penggerak muzik pelapis baharu industri hiburan Malaysia agar mereka dapat pergi jauh lagi dalam kerjaya masing-masing, sekaligus menjadikan program Big Stage sebagai platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan agar program ini lebih maju ke hadapan dengan konten-konten yang bermutu dan berkualiti.

Untuk rekod, Hyuk Shin yang dilahirkan pada 5 Jun 1985, merupakan seorang produser muzik dan penyanyi serta penggubah lagu asal Korea Selatan. Hyuk Shin telah menubuhkan team A-Rex yang bertanggungjawab mencipta lagu popular ‘One Less Lonely Girl’ nyanyian Justin Bieber pada tahun 2009 hingga meledak ke seluruh dunia. Beliau berpengalaman bekerja dengan ramai penyanyi antarabangsa K-pop yang terkenal antaranya GFriend, EXO, Shinee, DEAN, Oh My Girl, Girls’ Generation, Monsta X, NCT, GOT7 dan SF9.