November 10, 2024

Baru-baru ini, nama penyanyi Hafiz Suip menjadi bualan warganet dan seluruh warga Malaysia disebabkan penampilan dan gayanya dengan rambut yang telah diwarnakan.

Menurut Hafiz atau nama lengkapnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, dia mengakui gimik memainkan peranan dalam mensensasikan semula nama anak seni dalam dunia hiburan. Dia juga memohon maaf kepada semua disebabkan perbuatannya itu dan perkara tersebut hanyalah sebagai mempromosi single lagu terbaharunya berjudul Terus Bersinar terbitan syarikat rakaman Nova Music.

“Saya seorang penghibur dan kita pun dalam dunia industri hiburan dan itulah memang daripada dulu lagi hiburan adalah hiburan. Saya sebenarnya masa warnakan rambut tu, rasa risau takut kena kecam, tetapi kadang-kadang kecaman ini satu benda markerting juga,” ujar Hafiz.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Terus Bersinar, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu itu ketika kali pertama mendengar melodiya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu. Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaharu saya.

“Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti Insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanahair.

“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,” katanya.

Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu Terus Bersinar bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

“Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan. Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, Insya-Allah,” katanya.

Menariknya, lagu Terus Bersinar turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30 episod terbitan Mache All Star United berjudul ‘Surat Dari Tuhan’ yang telah bersiaran di slot Samarinda TV3.

Untuk rekod, Hafiz begitu popular dengan rentetan lagu-lagu seperti Awan Nano, Noktah Cinta, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita dan banyak lagi deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan hingga kini. Bakat besar yang dimiliki membawa kerjaya seninya di puncak tertinggi. Pelbagai pengiktirafan sudah diterima, sekali gus meletakkan namanya di liga tersendiri.