KUALA LUMPUR : Setelah hampir dua tahun tidak mengeluarkan sebarang lagu, akhirnya penyanyi Syahmi Irfan, 21 tahun berbangga apabila lagu Lagi-Lagi Sayang telah dilancarkan secara rasmi pada minggu lalu.
Syahmi atau nama sebenarnya Muhammad Syahmi Irfan Mohd Nadzri mengakui gementar bercampur teruja menunggu maklumbalas daripada peminat terhadap karya terbaharunya itu memandangkan lagu ini merupakan ciptaannya sendiri.
“Memang pada dasarnya saya amat gementar menantikan maklumbalas daripada peminat memandangkan lagu ini diciptakan sendiri oleh saya. Namun dari satu segi, saya gembira apabila lagu ini mendapat persetujuan pihak pengurusan untuk merakamkannya.
“Sudah tentu saya gembira dan berharap Lagi-Lagi Sayang akan mendapat sambutan baik daripada semua seterusnya membawa nama Syahmi Irfan untuk lebih dikenali di dalam industri hiburan tanah air,” kata anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini lagi.
Bagi remaja ini, dia tidak mahu sekadar dikenali sebagai penyanyi sebaliknya mahu juga dikenali dalam bidang penciptaan lagu. Meskipun baru berjinak-jinak dalam bidang penciptaan, Syahmi gembira kerana ia mendapat maklumbalas positif daripada orang sekeliling.
Sebagai orang baharu di dalam industri, Syahmi mahu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menyerlahkan lagi potensi diri untuk menjadi artis serba boleh.
“Kebanyakan penyanyi baharu yang muncul semuanya datang dengan potensi yang pelbagai dan saya juga perlu ada ‘sesuatu’ untuk lebih dikenali ramai. Sebab itu saya perlu berusaha keras untuk ke hadapan,” katanya yang popular dengan lagu Mungkir sebelum ini.
Bercerita mengenai Lagi-Lagi Sayang pula, dia sudah merakamkan lagu ini pada Mac yang lalu manakala lirik video pula telah disiapkan tiga bulan selepas itu.
Mendapat sentuhan Rudy Nastia selaku penerbit rakaman, lagu ciptaan Syahmi dan lirik hasil nukilan Syahmi dan SMSM itu berkisahkan tentang sebuah perhubungan yang tidak kesampaian namun pada akhirnya masing-masing perlu bahagia tanpa sengketa.
“Semua orang pernah atau akan melalui alam percintaan. Ada yang kekal, ada juga sebaliknya. Tidak perlu bersedih jika berakhir dengan perpisahan kerana itu merupakan sebuah perjalanan dan pengalaman hidup,” kata anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini lagi.
Lagu ini telah dilancarkan secara rasmi disemua platform digital dan lirik video lagu ini boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music.
Sebagai rekod, Lagi-Lagi Sayang merupakan terbitan dan edaran sepenuhnya oleh Indigital Music.