January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Mulakan tahun baharu dengan filem epik blokbuster Korea, Harbin, yang dijangka memukau penonton apabila ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 2 Januari 2025. Dibawakan oleh pengedar Lotus Five Star dan Five Star AV, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang luar biasa, sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Harbin, arahan pengarah tersohor Woo Min-ho (Inside Men, The Man Standing Next), membawa penonton kembali ke era tahun 1909, ketika Korea berada di bawah pemerintahan Jepun. Filem ini memaparkan perjuangan Leftenan Jeneral Ahn Jung-geun, seorang aktivis kemerdekaan Korea, bersama rakan-rakannya yang sanggup mengorbankan nyawa demi menuntut kemerdekaan tanah air mereka.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon ternama seperti Hyun Bin (Crash Landing on You, Confidential Assignment), Park Jeong-min (Deliver Us from Evil), Jo Woo-jin (Inside Men), Jeon Yeo-been (Vincenzo), dan Lee Dong-wook (Tale of the Nine Tailed, Goblin). Kehebatan lakonan mereka dijangka memberikan impak mendalam kepada penonton.

Hyun Bin, yang memegang watak utama sebagai Ahn Jung-geun, seorang wira kemerdekaan Korea, berkongsi pandangannya tentang pengalaman melakonkan watak ikonik tersebut. Baginya, peluang ini adalah lebih daripada sekadar peranan:

“Melakonkan watak tokoh sejarah yang begitu penting merupakan satu penghormatan dan juga tugas yang besar. Semangat dan visi Pengarah Woo untuk projek ini membakar semangat saya untuk menghidupkan cerita ini,” kata Hyun Bin ketika ditemui di sesi promosi filem itu.

Sementara itu, Lee Dong-wook, yang membawa watak Lee Chang-sup, memberikan sentuhan humor dan pandangannya tentang cabaran di lokasi penggambaran:

“Selepas bertahun-tahun membincangkan Harbin dalam pelbagai rancangan, akhirnya ia menjadi kenyataan. Keadaan penggambaran yang mencabar, termasuk salji yang tidak henti-henti, memberikan elemen keaslian kepada projek ini,” katanya sambil tersenyum.

Kedua-dua pelakon ini, bersama barisan pelakon hebat lain seperti Park Jeong-min, Jo Woo-jin, dan Jeon Yeo-been, telah bekerja keras untuk menjayakan filem yang membawa penonton ke tahun 1909, era perjuangan kemerdekaan Korea menentang penjajahan Jepun.

Dengan sinematografi menakjubkan oleh Hong Kyeong-pyo (Parasite), Harbin dirakam di lokasi-lokasi seperti Mongolia, Latvia, dan Korea Selatan. Filem ini berjaya menggambarkan suasana sejarah dengan begitu terperinci, menggabungkan aksi tegang dan visual memukau yang pastinya akan meninggalkan kesan mendalam.

Harbin menerima pujian meluas selepas tayangan perdana dunianya di Festival Filem Antarabangsa Toronto baru-baru ini. Sinematografinya yang memukau dan jalan ceritanya yang penuh emosi menjadikan filem ini antara yang paling dinantikan tahun ini.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah wira-wira Korea yang berjuang dengan penuh semangat untuk membebaskan tanah air mereka. Harbin bakal menggempur pawagam Malaysia bermula 2 Januari 2025.

Sinopsis:

Pada tahun 1909, di tengah zaman gelap penjajahan Jepun, pejuang kemerdekaan Korea yang diketuai oleh Ahn Jung-geun berjaya mencatat kemenangan dalam pertempuran sengit di Gunung Sina. Namun, tindakan Ahn yang membebaskan tawanan Jepun menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pasukannya. Keadaan bertambah rumit apabila kepercayaan antara mereka mulai goyah.

Setahun kemudian, Ahn bersama pasukannya, termasuk Woo Duk-soon, Kim Sang-hyun, dan Lee Chang-sup, bersatu kembali di Vladivostok untuk merancang misi mereka di Harbin. Mereka menyasarkan Ito Hirobumi, negarawan Jepun yang merupakan Jeneral Jepun pertama di Korea.

Namun, perjalanan mereka tidak mudah, apabila pasukan perisik Jepun mula melancarkan serangan untuk menggagalkan usaha mereka. Berjayakah pasukan Ahn mencapai misi mereka dan menuntut kembali kebebasan Korea?

Harbin, dibawakan oleh Lotus Five Star dan Five Star AV bersama rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing, dengan sokongan radio rasmi ERA, MY FM, MIX, dan MELODY. Saksikan filem epik ini di pawagam bermula 2 Januari 2025!