January 13, 2025
pembukaan cawangan rosyam mart

SEMENYIH – Memasuki tahun keenam beroperasi, rangkaian pasar raya terkemuka ST Rosyam Mart terus mengukuhkan perniagaan mereka dengan membuka cawangan keenamnya di Semenyih, Selangor.

Sempena majlis perasmian ST Rosyam Mart pada 26 Mac 2024, berlangsungnya pesta pembukaan selama enam hari enam malam sehingga 31 Mac depan. Menjadi simbolik untuk setiap kali pembukaan cawangan terbaharu, ST Rosyam Mart menawarkan diskaun hebat seperti ayam seekor RM0.88 sen dan juga barangan lain. Lazimnya setiap kali cawangan baharu dibuka, harga serendah RM0.08 sen ditawarkan kepada semua pelanggan sepanjang tempoh pesta pembukaan diadakan.

pembukaan cawangan rosyam mart

Tradisi ST Rosyam Mart

Menurut Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Rosyam Nor, ianya satu pemberian daripada ST Rosyam Mart dan Sri Ternak Group setiap kali pelancaran cawangan baharu kepada pelanggannya dan juga menjadi tradisi dalam memperkukuhkan jenama ST Rosyam Mart dengan menawarkan harga barangan serendah RM0.08 sen selain menganggap ianya sebagai satu infaq tatkala masih lagi di dalam bulan Ramadan.

“Kita buat promosi RM0.88 sen ini selama 6 hari sahaja dan hari berikutnya ada promosi-promosi barang keperluan yang lain. Setiap hari kita ada buat promosi yang berbeza, pembeli yang bijak dia tahu apa yang hendak dibeli dan hari apa yang mereka akan datang untuk mendapatkan harga promosi tersebut. Ayam ni ada hari-hari dia, macam hari ini kita bahagikan dalam 1,500 ekor dan hari berikutnya pun dalam 1,500 juga.

Promosi tak masuk akal

“Dalam cara kita punya marketing, kita memang peruntukan sejumlah modal untuk kita bagi kepada pelanggan kita mengenali ST Rosyam Mart dengan harga yang murah, jadi dengan apa yang kita buat selama 6 hari ini, kita akan bagi harga promosi yang tak masuk akal tetapi pada hari-hari lain pun kita memang ada barang-barang dengan harga borong dan setiap bulan juga kita ada ‘wow promotion’ tetapi tertakluk kepada mereka yang mempunyai kad keahlian yang boleh didapati dengan harga RM10 setahun sahaja.” Kata Rosyam yang juga merupakan seorang pelakon, penerbit, pengacara dan usahawan Malaysia. 

pembukaan cawangan rosyam mart

Pasar raya kedua terbesar

Menyentuh tentang premis terkini ST Rosyam Mart Semenyih, ia meliputi kawasan seluas 37,000 kaki persegi yang dilengkapi tempat parkir untuk kemudahan para pelanggan.

“Ini adalah pasar raya kedua terbesar selepas Shah Alam yang mempunyai keluasan 50,000 kaki persegi dan kami bakal buka pasaraya yang terbesar pada bulan Ogos nanti dengan keluasan 51,000 kaki persegi yang terletak di Senawang.” Ujarnya ketika sidang media sejurus majlis pelancaran bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sri Ternak Group, Dato’ Raymond Ho Cheng Hann.

Peluang kepada selebriti

Bukan itu sahaja, ST Rosyam Mart turut memberi peluang kepada para selebriti tempatan untuk berniaga dengan menyediakan sudut khas buat mereka menjual produk masing-masing.

“Ini juga salah satu cara ST Rosyam Mart untuk membantu usahawan IKS dan selebriti tempatan. Selebriti ini bukan daripada golongan artis sahaja asalkan dia selebriti popular seperti ahli sukan atau chief selebriti yang mempunyai produk kita akan terima untuk memasarkan produk mereka di sini.” Ujarnya lagi.

pembukaan cawangan rosyam mart

Bertemakan Slogan ‘Berbelanja di ST Rosyam Mart, Dompet Abang Selamat’, rangkaian pasar raya moden itu juga memperkenalkan konsep produk mudah cari merangkumi barangan basah dan kering di bawah satu bumbung.

“Sebenarnya kita mempunyai impian yang besar, impian kita bukan berniaga sahaja tetapi impian kita untuk memberi ruang kepada peniaga-peniaga, household untuk mendapat harga yang murah 24 jam, kita ambil keuntungan yang paling tipis tetapi kita menggunakan volum game sebab itu kita berharap agar dapat menyokong ST Rosyam Mart supaya kita dapat membuka lebih lagi cawangan untuk kita membantu masyarakat.” Jelasnya yang bakal muncul dengan filem Original Gangster dan Memoir Seorang Guru tidak lama lagi.

Beroperasi 24 jam sehari

Berbekalkan tenaga seramai hampir 300 kakitangan di ST Rosyam Mart Semenyih, pasar raya terkemuka ini akan bersiap sedia memberikan 19 perkhidmatan percuma kepada para pelanggan setia. Lebih menarik, jenama pasar raya tersebut sentiasa mengadakan kempen promosi pada setiap bulan di kesemua enam cawangan yang beroperasi 24 jam sehari.

“Langkah kami ini memberi ruang pada masyarakat khasnya golongan B40 untuk membeli belah di satu pasar raya yang hebat, mewah dengan harga borong dan kita juga adalah pasaraya yang pertama beroperasi selama 24 jam untuk memudahkan pelanggan datang pada bila-bila masa sahaja dan pada masa yang sama juga memberi ruang pekerjaan kepada kalangan masyarakat tempatan.” Katanya.

pembukaan cawangan rosyam mart

Pelancaran ST Rosyam Mart

Terdahulu, majlis pelancaran cawangan keenam ST Rosyam Mart yang begitu meriah ini telah dirasmikan oleh ahli parlimen Hulu Langat, YB Tuan Mohd Sany Bin Hamzan. Turut hadir dalam majlis tersebut YDP Majlis Perbandaran Kajang serta selebriti terkenal antaranya penyanyi dan pelakon, Azza Elite, Ako Mustapha, Wak Doyok, Munif Hijjaz, deejay terkenal Tyzo dan pengarah tersohor Rashid Sibir.