July 19, 2024

Kemakmuran yang dikecapi pada hari ini merupakan jerih perih yang telah dilalui oleh orang terdahulu. Pelbagai rintangan terpaksa dihadapi oleh sebahagian besar pemimpin bagi membentuk Malaysia moden ketika ini.

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat, dokumentari tokoh kenegaraan Melakar Bakti berjaya mengumpulkan 13 tokoh lama dan baharu dalam satu program yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Dokumentari yang diterbitkan oleh Indigital Sdn Bhd itu membawa penonton mengimbas kembali perjalanan tokoh-tokoh tanah air dalam pelbagai lapangan- untuk sama-sama menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Selaku Penerbit, Rozalina Mohamad Rom menyifatkan naskhah ini sebenarnya mengangkat khazanah dan jasa yang ditinggalkan oleh orang terdahulu dalam membangunkan Malaysia tercinta.

“Sebagai rakyat Malaysia sudah pasti kita berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh orang terahulu. Mereka bukan sahaja berjuang dalam bidang masing-masing tetapi dalam masa yang sama meninggalkan sejarah penting kepada tanah air.

“Melakar Bakti mengumpulkan tokoh-tokoh terkenal tanah air dan kita garap semula kisah mereka dan mengangkat kesan terhadap masyarakat yang terpatri sebahagian dalam Malaysia secara amnya,” ujarnya.

Tokoh-tokoh yang diangkat dalam Melakar Bakti terdiri daripada Zaaba, Tun HS Lee, Ibu Zain, Datuk Aripin Said, Krisnen Jit, Yusof Gajah, Prof. Dr. Bahari Belaton dan Mamat Khalid.

Turut diangkat Datuk Sri Philomena Tra Zehnder, Prof. Dr. Mokhtar Saidin, Tun Mohammad Fuad Stephens dan Nortipah Abd Kadir.

Melakar Bakti merupakan idea asal Pak Tua dan Ato dan dokumentari ini diarahkan oleh Isma Yusoff telah mengembara ke serata pelosok negara bagi mencari input menarik untuk tontonan penonton.

“Kami mempunyai pasukan pra-produksi yang sudah membuat kajian awal kesemua tokoh yang terlibat. Daripada kajian awal barulah produksi menemubual pengkaji sejarah dan ahli akademik dengan pelbagai kupasan kesan terhadap masyarakat.

“Beberapa contoh peristiwa turut dirakamkan semula sebelum setiap episod ditutup dengan beberapa temubual ahli keluarga yang masih hidup serta temubual beberapa tokoh Masyarakat lain,” tambah Rozalina lagi.

Menariknya pemilihan tokoh sejak awal tidak terhad kepada bidang politik tetapi mencakupi bidang bahasa, seni hidup, filem, tokoh wanita termasuklah mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

Paling menarik perhatian pastinya kisah Prof. Dr. Bahari Belaton yang merupakan seorang anak Orang Asli yang berjaya menempa nama dalam bidang akademik. Dia bukan sahaja telah membuat pelbagai kajian akademik tetapi juga pakar dalam beberapa cabang ilmu sains komputer.

Tambah Rozalina, pelbagai input menarik ditemukan oleh pasukan pengkaji yang akan didedahkan kepada penonton Melakar Bakti yang akan ditayangkan menerusi Best TV (saluran RTM).

“Kita berharap penonton akan mendapat pelbagai input baharu selain mengenalkan tokoh- tokoh hebat ini kepada generasi baharu. Sumbangan mereka begitu besar dan merupakan sejarah berharga buat Malaysia,” tambahnya lagi.

Sebagai info, Melakar Bakti mula ditayangkan setiap Khamis bermula hari ini 4 Julai 2024, jam 10.30 malam di Best TV.