December 4, 2024
drama hari itu dalam sejarah

KUALA LUMPUR – Peristiwa Hari Ini Dalam Sejarah cukup sinonim dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mana fakta kejadian dan peristiwa disampaikan secara ringkas untuk memudahkan difahami penonton juga pendengar.  

Justeru istimewa sempena sambutan Hari RTM ke-78 pada 1 April depan, Unit Drama TV RTM menerbitkan drama pendek bertajuk “Hari Itu Dalam Sejarah”khas buat seluruh rakyat Malaysia dalam mengenang momen permulaan keterujaan terhadap televisyen berwarna.   

Drama yang berlatarkan tahun 80-an ini dibintangi oleh Khir Rahman, Raja Azrey, Nadia Aqilah, Dewa Sapri, Putera dan Kumpulan Takal mengisahkan seorang guru yang pertama memiliki televisyen warna dan telah menjadi kebanggaan penduduk kampung.

Mendapat sentuhan arahan Wan Afzam Wan Daud, UDTV RTM, drama pendek ini menemui penonton pada 1 April ini, pukul 10.30 malam di TV1 juga melalui penstriman RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

Pengarah, Wan Afzam wan Daud tengah bersama pelakon drama ini

Ikuti kisah kegembiraan Karim, 12 tahun dan kawan-kawannya padam apabila mendapat tahu yang Cikgu Mutalib sudah pulang dari bercuti. Kepulangan Cikgu Mutalib awal dari cuti yang sepatutnya menyebabkan murid-murid terutamanya Karim jadi tak karuan. Kerana kegarangan Cikgu Mutalib sebagai guru disiplin, kepulangan dia heboh diperkatakan dalam kalangan penduduk kampung juga. Berita kepulangan Cikgu Mutalib menjadi lagi sensasi apabila dia pulang dengan membawa sebuah kotak televisyen warna.

Masing-masing cuba mendekati Cikgu Mutalib untuk menonton televisyen warna yang pertama ada di kampung tersebut. Begitu juga dengan Karim. Tanpa memperdulikan kegarangan Cikgu Mutalib, pelbagai cara dilakukan Karim untuk mendekatinya dan diberikan peluang menonton televisyen warna. Selain Karim, orang kampung yang lain juga cuba mendekati Ciku Mutalib termasuklah Cikgu Majid (Guru Sukan), Pak Teh Jali (JKK) dan Che Munah (pemilik warung).

Sebulan berlalu, satu berita memeranjatkan diterima dikaitkan dengan Cikgu Mutalib. Di sebalik kisah dia bercuti sebelum ini, rupa-rupanya Cikgu Mutalib menguruskan perpindahannya ke sekolah lain atas sebab kenaikan pangkat. Karimlah orang yang paling sedih disebabkan bakal berpisah dengan televisyen warna milik Cikgu Mutalib. Namun apakah pengakhirannya? 

Wan Afzam memberikan penerangan sebelum bermula penggambaran