January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Medan Mara sekali lagi bakal bergegar dengan alunan irama rock apabila Hari Rock Negara Ambang Tahun Baru 2025 kembali diadakan pada 30 dan 31 Disember ini. Acara yang kini memasuki edisi kelima dijangka menarik kehadiran lebih 15,000 pengunjung, melebihi rekod sebelumnya.

Pengurus acara, Mohd Shukri Idrus, atau lebih dikenali sebagai Kombatt, menyatakan rasa teruja dengan perkembangan penganjuran Hari Rock Negara.

“Kali pertama ia diadakan pada 2022, saya tidak menyangka sambutannya begitu hebat. Lebih 10,000 hadirin membanjiri acara tersebut. Alhamdulillah, ia menunjukkan minat masyarakat terhadap irama rock tidak pernah luntur,” katanya.

Kombatt

Persepsi Negatif Rockers Dipatahkan

Kombatt turut menyangkal persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan peminat rock. “Ada yang menganggap rockers itu budaya kuning, terpesong akhlaknya, malah dilabel sebagai sampah masyarakat. Tetapi sebenarnya, ROCK itu adalah singkatan kepada Ramai Orang Cari Kebenaran. Hari Rock Negara bukan sekadar hiburan, tetapi platform menyampaikan mesej positif dan ilmu,” jelasnya.

Acara Ilmiah dan Solidariti Antarabangsa

Selain persembahan muzik, Hari Rock Negara juga menampilkan program ilmiah yang unik, antaranya:

• Forum kemanusiaan bertajuk “FLOTILLA dan GAZA” oleh sukarelawan Tuan Kelana Putra Muhamad, yang berkongsi pengalaman di misi kem pelarian luar negara.

• Forum Islamik dan Muzik, mengupas kisah penghijrahan pemuzik ke arah dakwah, yang akan disampaikan oleh En. Nazrie dari Al Farabi Band.

Pelancaran Mad’s Carnival Street Café

Acara ini juga akan menyaksikan pelancaran rasmi Mad’s Carnival Street Café, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan, persembahan artis, dan pameran berterusan selepas acara ini.

Barisan Artis dan Band Terkenal

Antara artis dan kumpulan yang akan membuat persembahan termasuk SYJ, Al Farabi, Beta, Kobra, Lestari, Landlord Blues, Cryo Inferno, Lela, White Steel II, Blind Jockers, Antacid, Smokey Monkey, Together with Adan dan Dousche Deux.

Hari Rock Negara Ambang Tahun Baru 2025 menjanjikan pengalaman yang lebih besar dan bermakna. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah!