
SUBANG JAYA : Selepas 5 tahun sukses dengan pelbagai pencapaian, Floor 88 kini tampil dengan single terbaharu berjudul Sahabat. Lagu ciptaan Zai Hamzah (Achoi), menceritakan tentang ukhuwah persahabatan mereka menempuhi perjalanan susah dan senang bersama. Sepanjang perjalanan Floor 88 dalam industri muzik, jasa sifu mereka, penyanyi dan komposer, Harry Khalifah tidak akan pernah dilupakan.
Menurut Harry atau lebih mesra disapa Apak, dia berasa bangga dengan pencapaian dan kejayaan Floor 88. Harry juga menjadikan Floor 88 adalah satu band yang patut dicontohi oleh band-band baharu yang ingin masuk ke dalam industri muzik tanahair.
“Apa yang boleh dibanggakan ialah setiap kali pencapaian, diorang tak pernah lekang menyebut nama Apak di mulut-mulut diorang, jadi saya rasa Floor 88 harus dijadikan contoh untuk band-band baharu yang akan datang.” Kata Harry.
Harry juga mengakui selama beliau mendidik Floor 88 sudah pasti ada tercetusnya masaalah dan pergaduhan, tetapi dia mengambil pendekatan untuk campur tangan bagi menyelesaikan perkara tersebut sebaik mungkin agar tidak menjadi lebih serius.
“Dalam band kalau tak bercakar atau gaduh memang tak sah! tapi jika pergaduhan itu menjadi serius, saya akan masuk campur walaupun perkara tersebut adalah perkara yang melibatkan peribadi mereka,” tambah Harry lagi.

Mengulas lanjut tentang harapan Harry terhadap kumpulan Floor 88, dia hanya mengharapkan agar kumpulan itu menjadi sebuah kumpulan lagenda dan berkarya sehingga akhir karya mereka.
Floor 88 yang dianggotai oleh Ayie, (penyanyi), Achoi, (gitar utama), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua), memaklumkan bakal berduet dengan Raffa Affar tidak lama lagi.
Ayie berkata, dia percaya penyanyi itu mempunyai gaya nyanyian dan tahap vokal tersendiri.
“Kami memilih berduet dengan Raffa untuk single baharu nanti kerana yakin dengan bakat dan kemampuan nyanyiannya. Bagi kami, kerjasama ini juga satu keputusan tepat untuk Floor 88 cuba menembusi pasaran muzik di Indonesia.
“Floor 88 juga mendapat undangan membuat persembahan di Indonesia, tapi takkan kami nak pergi ke sana dengan berbekalkan satu lagu iaitu Hutang saja. Oleh itu, kami fikir adalah wajar untuk jalinan kerjasama ini,” katanya.
Raffa pernah menjadi perhatian ramai terutama warga maya selepas dia membuat ‘cover version’ lagu popular Malaysia seperti Buih Jadi Permadani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exists dan Tiara (Kris) di media sosial yang mendapat pelbagai komen termasuk kecaman netizen.

Sebelum itu, mereka turut melancarkan album digital penuh berjudul Infiniti yang memuatkan 10 lagu popular Floor 88, antaranya Zalikha, Aqilah, Roadblock Hatiku, Yang Benar, Hutang, Original Sabahan, Chikadun, 24434 dan satu single baharu, Sahabat. Judul Infinity bukan sahaja dipilih selari dengan harapan mereka untuk kekal dalam industri muzik, tetapi untuk kekal bersahabat buat selamanya.
Pada mulanya, Floor 88 berhasrat untuk tampil dengan album studio pertama mereka, namun akibat penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar dua tahun lalu, akhirnya ia diubah kepada album digital.
Single Sahabat dan album Infinity boleh didengari di semua pelantar digital muzik termasuk video muzik (MV) di saluran YouTube Rusa Music yang mana telah dilancarkan, kelmarin.