January 14, 2025

PETALING JAYA – Penyanyi versatil, Mas Idayu, kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu baharu berjudul Harum Mekar Di Hati, yang dilancarkan secara rasmi pada 6 Disember lalu di semua platform digital. Lagu ini mendapat maklum balas positif daripada peminat yang sudah lama menantikan karya terbaharu daripada penyanyi terkenal itu.

Lagu ini menandakan kerjasama pertama antara Mas Idayu dan komposer terkenal, Ajai, dengan lirik hasil sentuhan Raizo Almirez. Mas Idayu meluahkan rasa terujanya dapat berkolaborasi dengan Ajai, sahabat lama yang dikenali sejak puluhan tahun lalu.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Ajai. Lagu yang dihasilkan mempunyai keistimewaannya tersendiri, dan itu menjadi sebab utama saya begitu bersemangat merakamkannya,” kata Mas Idayu.

Tambahnya, genre pop rock yang dipilih Ajai selaras dengan minat peribadinya, berbeza dengan irama dangdut yang sinonim dengan namanya.

“Ajai tahu saya mampu menyanyikan pelbagai genre. Dengan pop rock, ia menyerlahkan sisi lain saya sebagai penyanyi,” katanya lagi.

Sementara itu, Ajai menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Mas Idayu dalam menguasai lagu bergenre pop rock.

“Mas Idayu adalah nama besar yang perlu dicabar dengan genre baharu. Dia berjaya membawa lagu ini dengan baik dan penuh penjiwaan,” ujar Ajai.

Ajai juga berharap Harum Mekar Di Hati mampu menarik perhatian peminat baharu selain mengekalkan sokongan peminat setia Mas Idayu.

Harum Mekar Di Hati – Mas Idayu

Pelancaran rasmi muzik video lagu ini berlangsung di Red Box Karaoke, The Curve. Lagu terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan edaran Indigital Music itu kini boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.

Mas Idayu turut menyatakan kesediaannya untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan Ajai pada masa hadapan sekiranya lagu ini mendapat sambutan baik.