KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2021 – Hasnol Bin Hassan Ariff atau lebih dikenali dengan HASNOL pernah melahirkan 2 Album antaranya, Sudi Katakan Sudi tahun 1992 dan Caraku tahun 1994. Terkini, Hasnol telah meriliskan album terbarunya berjudul Nadi Cinta Kita. Album ‘Nadi Cinta Kita’ memuatkan 7 buah lagu terbaharu iaitu Nadi Cinta Kita, The Ryhtm Of Love, Hilang, Laguku Untukmu Remix 2020 manakala 3 lagu lagi dalam versi instrumental.
Sebelum ini Hasnol pernah popular dengan lagu berjudul Laguku Untukmu ciptaan Allahyarham D.W.Adnan Hj.Abu Hassan dan liriknya ditulis oleh Hasnol sendiri. Sebagai tanda tribute dan penghargaan beliau kepada arwah, maka lagu tersebut dirakamkan semula secara remix dan instrumental serta menjadikannya salah satu lagu dalam album terbaharunya ini. Istimewanya juga dalam album ini ialah lagu Hilang, yang telah dicipta oleh Allahyarham Tony Iskandar Alberto atau lebih dikenali dengan nama pentas beliau, Tony Spider.
“Pada mulanya, Album ‘Nadi Cinta Kita’ ini adalah satu dedikasi saya buat isteri sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke-10 pada tahun 2020. Namun banyak perkara yang membuatkan saya bersemangat untuk dedikasikan kepada kedua-dua Allahyarham sahabat-sahabat saya yang saya pernah bekerjasama dalam pembikinan album pertama dan yang terbaharu sekarang ini. Justeru dengan pemergian sahabat karib bagaikan seorang ahli keluarga saya juga, album ini terus menjadi tribute. Dalam lagu Hilang ini, saya telah menulis bait-bait lagu yang berkisar tentang seorang insan yang merindui Cinta Sang Pencipta dan secara tidak sengaja… yang sebenarnya, saya menulis tentang kisah arwah.” Kata Hasnol.
“Lagu ini telah diriliskan pada bulan Oktober, 2019. Bagi mereka yang ingin mendengar lagu ciptaan Allahyarham Tony Spider untuk saya ini, bolehlah melayari saluran Youtube Luncai Emas atau buat carian di dalam Youtube, dengan kata kunci ‘Hilang oleh Hasnol’. Lirik Video ini juga telah dibuat dan disiapkan oleh Allahyarham Tony sendiri untuk siaran di saluran Youtube Luncai Emas”. Tambah beliau lagi.

Di dalam Album ‘Nadi Cinta Kita’ ini juga, termuatnya lagu versi Inggeris Nadi Cinta Kita yang diberi tajuk The Rhythm of Love. Lagu ini adalah yang pertama dalam sejarah Hasnol sebagai artis rakaman yang dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris dan mengharapkan penerimaan peminat-peminat dalam percubaan julungkalinya untuk menyanyikan lagu dalam Bahasa inggeris setelah hampir 30 tahun berada dalam persada seni suara.
Album ‘Nadi Cinta Kita’ bermula dengan rakaman lagu Hilang yang digubah, susunadun oleh Allahyarham Tony Spider di hujung tahun 2018. Lagu Hilang dirakam semula di studio Luncai Emas pada awal tahun 2019. Setelah siap rakaman lagu Hilang, Allahyarham Tony, & Pihak Pengurusan Luncai Emas telah berbincang dan bersetuju untuk memperbaharui lagu Laguku Untukmu untuk diriliskan sebagai Remix dan diriliskan sekali bersama lagu Hilang.
Kemudian, Hasnol dan Luncai Emas Sdn Bhd telah bersetuju untuk meriliskan kesemua lagu yang telah dirakam itu dalam 1 album ‘Edisi Terhad’ di bawah label Luncai Emas. Namun, promosi untuk album itu tidak dapat dijalankan dan ianya tergendala akibat pandemik covid-19.
“Apabila suasana covid-19 melanda, saya dan ramai lagi rakan dalam industri hiburan terjejas kerana tiada ruang untuk membuat persembahan, walaupun boleh melakukan secara maya di media sosial, tak semua yang akan membuat sumbangan, kerana bagi penonton, sekali mereka menyumbang walau seringgit, mereka akan terus menonton persembahan kami sekiranya ianya berlangsung selama seminggu. Memang keadaan menjadi sempit buat kami. Untuk mendapatkan bantuan atau geran dari kerajaan bukanlah semudah yang disangka”. Katanya.
Hasnol turut menyatakan pengalaman pahit beliau apabila kehilangan sahabat-sahabat yang banyak membantunya dalam rakaman seni suara. “sahabat yang sangat saya hormati dan disayangi, Allaharham Tony Spider dan guru dalam industri muzik saya, Allahyarham Dato Wirama Adnan Haji Abu Hassan”.
Hasnol pernah mendapat gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-8 (1993) terbitan TV3 dengan lagu Sudi Katakan Sudi dan Dicalonkan sebagai Artis Baru Popular Berita Harian pada tahun 1993.
Hasnol mengakhiri kata dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan banyak membantu menaikkan nama beliau di persada arena seni suara.
“Dan dalam pada masa yang sama, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih buat Abg Keon, Kak Jenny, Nabila, Hajar dan semua yang terlibat di Luncai Emas dalam persiapan album saya yang terbaharu ini, Insya Allah. Buat semua media elektronik dan cetakan, bloggers, samada yang saya kenal, mahupun yang belum bertemu, terima kasih kerana masih lagi menyokong karya-karya saya di persada seni suara. Alhamdulillah. Dan, buat peminat-peminat saya dari semua golongan umur, bangsa dan agama… Saya berterima kasih kerana ramai yang masih mengingati saya dengan lagu yang pernah saya nyanyikan dan syukur masih lagi meletakkan nama saya sebagai penyanyi asal Laguku UntukMu… walaupun sudah dipopularkan oleh artis baharu.
“Sekali lagi, syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT dan jutaan terima kasih buat pihak radio, media, TV yang terus membuat Laguku UntukMu menjadi siulan dan nyanyian anak-anak muda milenia. 80an dan 90an… Zaman kegemilangan hiburan radio, TV, majalah dan suratkhabar”. Ujar beliau.
Nadi Cinta Kita dan Hilang kini telah pun tersedia dan boleh didengari di semua laman strim. Luncai Emas yang bertindak sebagai pengedar lagu-lagu dan album ini, mengharapkan agar karya-karya Hasnol mendapat tempat di hati semua lapisan masyarakat, peminat dan juga media eletronik serta media atas talian (online media).