
KUALA LUMPUR : Buat pertama kalinya penyanyi dan pelakon terkenal, Hazama bakal menjejaki kaki di bumi Tawau Sabah bagi menemui peminatnya dalam sebuah konsert yang diberi nama Malam Merdeka Bah Kita 2022, pada 30 Ogos ini.
Hazama berkongsi rasa keterujaannya untuk mengadakan konsert di Tawau kerana ini adalah kali pertama sepanjang kariernya beliau datang ke sini.
“Ini adalah kali pertama saya akan datang ke Tawau dan sebelum ini saya memang tidak pernah datang ke Tawau, jadi ini adalah peluang saya untuk bertemu, beramah mesra bersama peminat di sana nanti,” katanya.
Sebelum ini, pelantun lagu Relakan Jiwa hanya berpeluang berinteraksi bersama peminat Tawau hanya melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga twitter.
Dalam konsert itu, Hazama akan menyampaikan empat buah lagu dan beliau tidak menolak sekiranya ada peluang untuknya membuat persembahan secara duet bersama penyanyi dari seberang dalam konsert tersebut.
“Saya berharap agar konsert ini mendapat sambutan dari peminat Sabah khususnya peminat dari Tawau dan juga negara jiran, Indonesia. Mungkin festival ini akan menjadi satu acara yang mereka tidak akan lupakan.” Ujar Hazama.

Konsert dianjurkan oleh Hype Global Ventures dimana sebelum ini sangat terkenal sebagai penganjur yang giat terbabit dalam acara dan pengurusan jualan secara Uptown, tahun ini menjadi langkah permulaan bagi mereka dalam mengembangkan empayar menerusi projek bersifat hiburan.
Dalam tahun ini, Hype Global Ventures bakal mengadakan bukan satu tetapi dua konsert yang akan berlangsung di Tawau, Sabah dan The Mines Sri Kembangan, Selangor.
Konsert Malam Merdeka Bah Kita 2022, bakal berlangsung di Kompleks Sukan Tawau bermula dari pukul 6 petang dengan tiket berharga RM45, RM80 dan RM 120.
Selain Hazama, pengunjung akan dihiburkan dengan barisan artis antaranya Isnin Umbrella, Hafiz Umbrella, Shidi Data, Azan Scan, Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka dan Valdy Nyonk.
Rata-rata artis yang akan membuat persembahan mempunyai pengikutnya tersendiri dan menjadi satu bonus apabila Hype Global Ventures membawakan penyanyi khas dari Indonesia bagi menyemarakkan malam kemerdekaan negara sebagai lambang serumpun.
“Semua barisan penyanyi yang kami bawakan pada Malam Merdeka Bah Kita 2022 mempunyai ramai pengikut dan digemari kelompok peminat pada masa kini. Malah ada dalam kalangan artis Indonesia yang kami bawa mempunyai jumlah tontonan video lebih 100 juta di YouTube.
“Sengaja kami gabungkan barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia sebagai lambang serumpun pada malam bersejarah itu nanti,” ujar Pengarah Pengurusan Hype Global Ventures, Johari Mohd Yusof.


Karnival di Tawau akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 28 sehingga 30 Ogos 2022 yang mana malam terakhir adalah kemuncak bagi menyambut hari kemerdekaan negara.
Selain konsert yang disajikan kepada pengunjung, karnival di Tawau, menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan karaoke, Battle of The Band dan jualan karnival daripada makanan, pakaian sehinggalah pelbagai barangan.
Pengunjung bertuah bagi cabutan bertuah bakal membawa pulang hadiah utama berupa sebuah motorsikal 250cc yang akan diumumkan selepas detik 12 malam menjelang hari kemerdekaan 31 Ogos itu.
“Kami sangat mengalu-alukan kedatangan pengunjung bukan sahaja dari Tawau atau sekitar Sabah, tetapi juga dari Negara Indonesia. Memandangkan lokasi karnival dan konsert diadakan di Kompleks Sukan Tawau yang mempunyai keluasan dari segi kapasiti selain berdekatan dengan Kalimantan,” tambah Johari.
Untuk menyambung semarak nasionalisme, Hype Global Ventures akan mengadakan persembahan kedua yang diberi nama Malam Santai Musical dijadualkan berlangsung di Hype Uptown Night Bazar Seri Kembangan pada 2 September 2022.
Persembahan akan bermula pada pukul 8.30 malam menampilkan Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka serta Valdy Nyonk sebagai penampilan khas untuk menghiburkan pengunjung yang hadir di tapak Uptown tersebut. Tiket akan dijual pada harga RM65 dan RM165.
“Pemilihan melakukan persembahan di lokasi Uptown The Mines pula kerana di sinilah tapak pemula Hype. Kita mempunyai lebih 400 kedai di sini dan secara tidak langsung dengan penganjuran persembahan ini ia akan menambah nilai promosi kepada tempat ini,” kata Johari.
Sebarang keterangan lanjut boleh hubungi talian +60126748347 (Farizal) dan +60195607948 (Tado) untuk acara persembahan di The Mines.
