Herriot: Peneraju Melodic Death Metal Malaysia buka Tour Dark Tranquillity di Bangkok

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 – Band melodic death metal Malaysia, Herriot, memulakan tahun 2025 dengan penuh bergaya apabila mereka membuka tirai bagi tour Dark Tranquillity, ‘Endtime Signals’ di Bangkok pada 2 Mac 2025. Video penuh daripada set mereka kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi, HerriotOfficial.

Tour ini turut menampilkan barisan band terkemuka antarabangsa seperti Conan (Sludge/Doom Metal, UK), Ethereal Sin (Melodic Black Metal, Jepun) dan Gotsu Totsu Kotsu (Death/Thrash Metal, Jepun). Herriot, sebagai satu-satunya wakil dari Asia Tenggara dan Malaysia, menjadikan penyertaan mereka lebih bermakna dalam perhimpunan besar muzik ekstrim dunia ini. Tour ‘Endtime Signals’ menjadi pencapaian terbesar Herriot setakat ini bagi tahun 2025.

Dark Tranquillity

Vokalis dan penulis lirik Herriot, Chen, berkongsi pengalaman beliau dalam sebuah catatan khas mengenai perasaan mereka membuka untuk Dark Tranquillity serta visi masa depan band ini.

“Herriot sudah lama tidak membuat persembahan secara serius. Kami adalah band yang mencari keseronokan dan kepuasan dalam berkarya. Prinsip utama kami adalah ‘we do what we want, our way’. Maka, apabila mendapat peluang seperti ini yang benar-benar merupakan impian menjadi kenyataan, aku memang rasa takut,” ujar Chen.

Perancangan Herriot untuk 2025

Selepas kejayaan di Bangkok, Herriot bakal mengetuai acara Fourth Ceremony di Ipoh pada 12 April serta menyempurnakan rakaman album terbaru mereka, ‘Black Day Massacre’. Mereka juga sedang mempertimbangkan satu lagi tawaran persembahan besar yang masih belum dimuktamadkan.

Sejarah dan Perjalanan Herriot

Ditubuhkan pada penghujung 90-an, Herriot merupakan antara perintis gerakan Melodic Death Metal di Malaysia yang berpaksikan gaya Gothenburg Sound. Ketika peminat muzik tempatan masih menggemari muzik metal dari Norway, Greece, dan Amerika Syarikat, enam anak muda dari utara Malaysia bersatu membentuk Herriot, mengambil inspirasi daripada band seperti In Flames, Dark Tranquillity, dan At The Gates.

Barisan awal Herriot terdiri daripada Chen (vokal), Chop Chaosblood (gitar), Adlan (gitar), Azim (dram), Afzad (bass), dan Joe Sarcast (gitar). Mereka melancarkan EP sulung ‘Celestial Obelisk’ melalui Psychic Scream Entertainment pada tahun 2000, yang berjaya mengubah lanskap muzik ekstrim Malaysia dan mendapat sambutan baik di pasaran luar.

Setahun kemudian, album penuh ‘Transworld Chaos’ diterbitkan melalui label yang sama dengan sedikit perubahan dalam barisan anggota. Yat mengambil alih posisi bass, sementara Ling menambah dimensi baru kepada bunyi Herriot dengan kemasukan elemen keyboard. Dalam tempoh singkat ini, Herriot berkembang pesat dan mendapat perhatian peminat luar negara.

Bagaimanapun, selepas pelancaran ‘Transworld Chaos’, Herriot mengalami perpecahan. Mereka beberapa kali bersatu kembali dalam tahun-tahun berikutnya, sebelum akhirnya bangkit semula dengan formasi terkini pada penghujung 2023 bagi merakam album terbaru mereka di Sweden.

Barisan anggota Herriot terkini terdiri dari Chen (vokal), Azim (gitar), Eroll (gitar), Peth (bass), Fariz (dram).

Dengan momentum yang semakin meningkat, Herriot kini kembali mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju Melodic Death Metal Malaysia. Saksikan video persembahan mereka di Bangkok di saluran YouTube HerriotOfficial.

Herriot – I Dream Evil [LIVE]
Herriot – Wayfarer’s Tale & Dead Before Alive [LIVE]
Herriot – The Mechanics of Self [LIVE]
Herriot – The Turning Tide [LIVE]