February 12, 2025

KUALA LUMPUR – “Saya rasa apa yang terjadi semua ini ada hikmah,” kata Ronnie Hussein yang merupakan bekas vokalis kumpulan Hyper Act berkenaan krisis yang berlaku dikalangan mereka. Menurutnya, disebabkan pergolakan yang berlaku dalam Hyper Act suatu ketika dahulu, mereka akhirnya bertaut kembali bergandingan bersama anggota asal di dalam konsert Reunion bersempena ulang tahun ke-15 Hyper Act pada 3 Februari 2024 jam 8.30 malam bertempat di KWC StarXpo, Kuala Lumpur.

“Saya dan juga ahli kumpulan Hyper Act tak ada apa masalah, cuma kita ada selisih faham dengan pihak pengurusan yang dulu dan terjadinya konsert ini pun sebab Hyper Act sudah bergerak dengan pengurusan sendiri. Selepas tidak bersama lagi dengan pengurusan lama, jadi timbulnya idea untuk Toi cetuskan konsert Reunion bersempena ulang tahun ke-15 ini.” Jelas Ronnie yang merupakan vokalis pertama Hyper Act bermula tahun 2009 dan mengundurkan diri pada tahun 2015.

Bagi pemain bass Hyper Act, Khairul Nizam bin Baharom atau Toi, dia sangat mengimpikan untuk menggabungkan kesemua penyanyi asal Hyper Act di dalam sebuah konsert. Menurutnya, ini adalah kali pertama Hyper Act mengadakan konsert secara tiket berbayar. Selain itu, konsert ini juga adalah sebagai kesinambungan aktiviti Hyper Act selepas pelancaran lagu terbaharu mereka berjudul Pasti Terjadi pada Oktober lalu.

“Saya sangat idamkan untuk buat konsert bersama penyanyi-penyanyi lama Hyper Act macam Ronnie dan juga Kecik. Walaupun sekarang orang hanya nampak Firman yang banyak menyanyikan lagu-lagu Hyper Act yang ada di pasaran.

“Pada permulaan, saya melamar Ronnie dan menyatakan hasrat untuk adakan konsert reunion, kemudian saya tanya kecik, dia kata ‘yes’. Jadi itulah titik permulaan untuk kita kembalikan konsert yang sekian lama kita tak ada konsert. Untuk konsert bertiket pula, ini adalah pertama kali.” Kata pemenang tempat keempat Akademi Fantasia Musim 6 pada tahun 2008.

Selain Toi, konsert anjuran Redvena bersama Redvena Musix dengan kerjasama label artis Talent Toy Production, bakal menampilkan Firman Bansir (Vokal Utama), Freddy (Gitar Utama), Etan (Gitar Kedua) dan Ejam (Drum). Tambahan daripada itu, konsert ini juga akan menggabungkan semula bekas-bekas anggota Hyper Act sebelum ini antaranya Ronnie Hussein (Vokal Utama), Kecik Ogie (Vokal Utama) dan Labib (Drum). Tentunya Hyper Act merasakan keterujaan untuk meraikan konsert Reunion bersempena ulang tahun ke-15 ini bersama peminat mereka.

Kecik yang merupakan bekas vokalis Hyper Act yang kedua selepas pengunduran Ronnie amat berterima kasih atas pelawaan Hyper Act untuk menjayakan konsert ini.

“setelah lima enam tahun lepas keluar dari Hyper Act, ini kali pertama dipanggil semula untuk menjayakan konsert dan terima kasih Hyper Act. Kita akan buat yang terbaik, InsyaAllah.” Ujar Kecik.

Dalam pada itu, Firman yang merupakan vokalis terkini Hyper Act tidak mengambil pusing berkenaan krisis yang membabitkan anggota Hyper Act dan tetap meneruskan perjalanan serta perjuangan Hyper Act meskipun dilambung ombak yang tinggi.

“Kita pun tak nak perbesarkan isu sebab benda ini melibatkan peribadi ataupun personaliti masing- masing. Jadi apa yang kami ingin kecapi sekarang adalah masa untuk Hyper Act buat come back.

“Saya masuk Hyper Act dalam penghujung 2017, masa itu, Toi dah keluar, Etan keluar dan ahli-ahli Hyper Act berkurangan masa itu. Bila adanya isu macam ini ianya jadi terumbang-ambing dan dibiarkan sahaja. Jadi tak apalah, kita teruskanlah perjalanan dan berjuang untuk band ini, sebab Hyper Act ini ada satu benchmark serta karisma dari segi lagu dan karektor. Tak ada sebab untuk kita biarkan band ini tenggelam dan kita pun masih sayang dengan band ini sebab orang dah kenal.” Luah Firman yang merupakan juara Akademi Fantasia Musim 11 pada tahun 2014.

Sementara itu, Toi pernah meninggalkan kumpulan Hyper Act selama lima tahun sebelum dipujuk kembali untuk bersama pada tahun 2022. Selama berpisah dengan Hyper Act, Toi aktif menghasilkan kerja-kerja mencipta dan menyanyikan lagu OST drama di kebanyakan stesen tv.

“Apabila saya keluar dari Hyper Act, mungkin satu Malaysia buka mata, rupanya saya yang mereka kecam selama ini adalah sebaliknya, sebab ada orang cakap saya poyo, ketua yang gila kuasa, saya tak suka atau nak buang orang, saya buang, mereka tak tahu apa cerita dalaman. Jadi bila dah berlakunya saya tarik diri, saya fokus dengan apa yang saya buat dan saya teruskan.

“Jadi bila diorang datang untuk untuk memujuk, ambil masa jugalah sebab saya memang dah give up, saya hanya nak buat kerja saya sahaja. Saya cuma nak menyanyi dan saya tak nak lagi pegang gitar bass ini semua. Dalam pada masa yang sama, saya juga masih ada teamwork bersama kawan-kawan.” Ujar Toi lagi.

Dia juga ada merasa kerisauan menghadapi konsert yang bakal menjelang tiba. walaupun terdapat pelbagai konsert lain yang dianjurkan, namun Hyper Act yakin konsert ini ada keistimewaannya tersendiri. Selain penampilan tiga vokalis yang mempunyai peminatnya sendiri, lagu-lagu yang bakal dipersembahkan oleh Hyper Act adalah lagu-lagu yang akan mengembalikan nostalgia dimana peminat bakal sing-along lagu-lagu hit seperti Harapan, Hanya Aku, Ku Tiba Lagi, Kayangan, Kasih dan banyak lagi.

“Kalau ikutkan kita memang ada rasa kerisauan, tapi apa yang saya cuba pegang sekarang ini, semoga kita berjaya menjadikan konsert pada bulan 2 itu dan saya nak tengok mana peminat Ronnie, peminat Kecik yang serang saya dulu, tolong beli tiket ramai-ramai.” Kata Toi sewaktu sidang media di D’Culture Cafe, Ampang, Selasa lalu.

Tiket masuk telah mula dijual di platform ticket2U sejak 24 Oktober 2023. Tiket berharga RM115 (Zon 5 Berdiri) telah habis dijual, manakala tiket-tiket yang masih ada berharga RM175 (Zon 4 Berdiri), RM195 (Zon 3 Berdiri), RM225 (Zon 2 Berdiri), RM245 (Zon 1 Berdiri), RM295 (Pasti Terjadi- Berdiri) dan RM250 (Meet & Greet).

Konsert ini mendapat sokongan rakan radio Hot FM, rakan media Astro Gempak, penaja seperti Icha Hair Studio by Icha Khairul dan Mell Beauty Makeup by Eiycha Aziz dan rakan rasmi iaitu Ombak Exclusive.