October 16, 2024

PETALING JAYA – Sungguh meriah! Hari minggu yang lepas telah berlangsung ‘Konsert Telan Kaset 90-an’ anjuran jenama mi segera popular Vit’s dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia sewaktu Festival Muzik Vit’s bersempena Festival Mi Malaysia yang pertama seumpamanya di Malaysia pada 12 dan 13 Oktober 2024 di lokasi terbuka Padang Timur, Petaling Jaya.

Festival Muzik Vit’s yang berlangsung selama 2 hari dari jam 8 sehingga 11:30 malam telah berjaya menarik perhatian ramai peminat muzik 90-an dan juga peminat makanan dari seluruh negara yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Dengan tarikan festival berkonsepkan karnival, konsert yang menggabungkan elemen muzik era 90-an dan hidangan berasaskan mi ini telah mencipta suasana meriah yang sukar untuk dilupakan.

Walaupun hujan lebat, peminat tetap menunggu penuh sabar kehadiran lebih dari 20 orang penyanyi terkemuka era 90-an seperti Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Roy, Aris Ariwatan, Dinamik, Kasawari, Shidi Data, Gravity, Wann, Febians, Hasnol, A To Z, Shades, Tom, Fuad, Zamani, bersama DJ Fasha Anderson dengan Don’t Panic Buskers yang berjaya menghiburkan pengunjung dengan lagu-lagu hits 90’an yang mengimbau kenangan.

Selain konsert, lebih dari 80 buah gerai makanan yang menyajikan pelbagai jenis mi, termasuk laksa dan mi kari, turut memeriahkan festival ini.

Pihak penganjur, Vit’s besama Persatuan Karyawan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir dan menyokong acara ini. 

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez berkongsi rasa teruja, “Kami sangat gembira dengan sambutan hangat yang diberikan oleh kesemua pengunjung, festival ini bukan sahaja mengubati kerinduan peminat pada penyanyi kegemaran mereka, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama beramal.

Selain persembahan muzik, pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan karaoke dan permainan karnival turut diadakan, menjadikan festival ini sebagai destinasi yang sesuai untuk seisi keluarga. 

Pengunjung ‘sporting’ yang hadir dengan berpakaian ala 90-an juga telah berpeluang memenangi beberapa hadiah menarik oleh pihak penganjur.

“Komitmen kami adalah untuk meneruskan tradisi festival ini di tahun-tahun mendatang. Kami berharap agar festival ini dapat mengimbau kembali nostalgia muzik 90-an dan juga memberi sokongan kepada para artis senior kita,” kata Pn. Baizura Tazri 

Selain Vit’s dan Persatuan Karyawan Malaysia, festival ini turut mendapat sokongan bersama oleh MBPJ, Storm Truperz Campers, Ticket2u, Suria Radio, Media Panas, Hotel Seri Pacific dan Nester.

Dengan kejayaan festival ini, Vit’s berjanji akan terus berusaha untuk menyajikan pengalaman yang lebih menarik dan disamping tu membantu mengumpul dana Persatuan Karyawan Malaysia di masa-masa akan datang.